Ringkasan AI
- Kedua-dua anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam nahas di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara terpaksa menjalani pembedahan.
- Nur Sofea Humaira, 4, telah selamat menjalani pembedahan pagi tadi, manakala abangnya Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, akan menjalani pembedahan petang ini.
- Semua penumpang bas warga Singapura yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital.
- Hanya dua beradik tersebut dan seorang pemandu lori masih dirawat di Hospital Melaka, dengan pemandu lori dalam keadaan kritikal di ICU.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, prosedur pembedahan terhadap anak kedua mangsa, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, yang mengalami patah paha kiri selamat dilakukan pagi tadi.
Manakala pembedahan terhadap abangnya Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akan dijalankan petang ini selepas tulang paha kanannya pecah.
“Dua beradik ini menjalani pembedahan di Hospital Melaka yang mana Nur Sofea yang sebelum ini dirawat di wad biasa telah selesai dibedah susulan paha retak, manakala abangnya yang ditempatkan di ICU belum lagi dibedah.
“Muhammad Uwais mengalami kecederaan parah di paha kanannya yang mana tulang pahanya pecah, tetapi apa pun pembedahan terhadap kanak-kanak lelaki itu akan dibuat hari ini juga,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa yang cedera di Hospital Melaka hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, sehingga kini semua penumpang bas warga Singapura yang cedera yang dirawat di Hospital Melaka dan sebuah hospital swasta telah dibenarkan keluar.
Katanya, setakat ini hanya dua beradik berkenaan dan seorang pemandu lori membawa muatan pakaian terpakai masih dirawat di Hospital Melaka.
“Pemandu lori berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU juga yang mana pihak hospital sedang memantau perkembangannya susulan beberapa kecederaan parah, terutamanya di bahagian kaki.
“Berkemungkinan prosedur pembedahan terhadap pemandu lori itu juga akan dilakukan bergantung kepada keadaannya,” tambahnya.
Terdahulu dalam nahas menyayat hati itu, tujuh nyawa termasuk lima sekeluarga terkorban melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, treler Nissan, dan MPV Toyota Estima.
Mereka yang maut ialah pemandu dan penumpang Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama isteri, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2, juga ibu serta ayah Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang bas persiaran yang juga pemandu pelancong warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.