KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan ke atas pemilik akaun X, Saifuddin Shafik berhubung komen jelik yang dimuat naik dalam media sosialnya itu membabitkan nahas helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak yang mengorbankan 10 mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ.

Menurutnya, polis turut merampas satu unit telefon pintar iPhone yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut.

"Kita sudah merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Mohd Shuhaily memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutamanya melibatkan kegentaran awam melalui media sosial.

Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Selasa lalu, dua helikopter TLDM iaitu pesawat Fennec (M502-6) dan pesawat HOM (M503-3) bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada kira-kira pukul 9.30 pagi dan kesemua 10 mangsa yang berada dalam kedua-dua helikopter itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

TLDM pula dilaporkan sudah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas itu.