"YA, benar bagai dikata. Percayalah."

Populariti watak Pok Ya Cong Codei sudah menyamai Fattah Amin yang meningkat naik gara-gara watak juruterbang bernama Ejaz Fakhri dalam 'Suri Hati Mr Pilot'.

Kisahnya, saya berada di Kelantan untuk liputan menjelang #MalaysiaMemilih, tetapi secara tak sengaja terserempak dengan kisah-kisah tular Pok Ya Cong Codei yang terus diperkata sehingga kini.

Aneh dan ajaib, bagaimana kisah watak rekaan, umpama bagai satu sosok yang benar-benar ada kalangan penduduk di sini.

Sabri Yunus, si gedebe kampung dalam drama 'Pok Ya Cong Codei' itu, tak lagi dipanggil dengan namanya sendiri, tetapi sudah lekat dengan nama Pok Ya.

Hangatnya nama Pok Ya Cong Codei di negeri serambi Mekah ini, hinggakan ada satu majlis minum petang dianjurkan khusus untuk peminat bersua muka dengan beliau.

Majlis minum petang bersama Pok ya Cong Codei
Populariti Pok Ya Cong Codei mendorong penganjuran Majlis Minum Petang di sebuah hotel di Kota Bharu - Gambar Astro AWANI/Marlina Manaf

Jualan tiket umpama persembahan 'stand up comedy', di mana setiap peminat dikenakan bayaran RM50 untuk majlis hi-tea di sebuah hotel.

Inilah mirip apa yang dilalui Fattah Amin, pasca berakhir tayangan 'Suri Hati Mr Pilot' di kaca televisyen.

Majlis-majlis minum petang bersusun dianjurkan kelab peminat, sehingga ke Singapura dan Brunei, demi memenuhi kegilaan peminat melihat Ejaz Fakhri.

Sama cerita yang berlaku sekarang kepada Pok Ya Cong Codei.

Hebatnya penangan Pok Ya Cong Codei yang dimainkan Sabri, peminat sanggup bayar untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Kisah Pok Ya belum tenggelam, biarpun selepas sebulan drama 'Pok Ya Cong Codei' ditayangkan di Astro Citra.

Rakan di Kuala Lumpur menghubungi saya dan memaklumkan, ada pula jualan DVD cetak rompak drama 'Pok Ya Cong Codei', secara meluas.

DVD cetak rompak Pok Ya Cong Codei dijual di Kelantan
DVD Drama 'Pok Ya Cong Codei' kini dijual secara meluas. - Gambar Astro AWANI/ Marlina Manaf
Saya ke Wakaf Che Yeh meninjau kesahihan itu.

Dapatan tinjauannya?

Ye betul. DVD cetak rompak drama Pok Ya Cong Codei berharga RM5 sekeping berlambak dijual.

Ketika melangkah ke gerai DVD, kisah Pok Ya Cong Codei inilah yang sedang disusun untuk dipamerkan.

"Buleh jual seribu copy doh kak, dale maso seminggu ni," (Dah seribu salinan DVD dijual dalam masa seminggu) kata si penjual DVD yang tidak perlulah saya namakan.

"Cerito ni loni hok laku skali, nok tunggu sambungan nombor duo tok tubik lagi," (Cerita ini paling laris sekarang, tunggu sambungan Pok Ya yang kedua belum dikeluarkan), tambahnya.

BACA: Pok Ya Cong Codei viral, sudah ada fan page & lagu rap

BACA: Ada apa dengan Pok Ya Cong Codei

BACA: Ramai orang macam Pok Ya Cong Codei - Sabri Yunus

BACA: 'Saya imam, bukan pelakon'


Kalau ikut kajian kes populariti si Fattah Amin, lama lagi sosok seorang Pok Ya ini akan jadi bualan peminatnya.

Mungkin berpotensi untuk dikembangkan lebih lagi dan kini ia dianggap satu jenama kebanggaan rakyat Kelantan.

Siapa tahu, kelak menyusul sekuel drama Pok Ya atau kisah itu diangkat pula ke layar perak satu hari nanti.

Insya-Allah.