Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Na'imah memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula hari ini hingga 11 Nov dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Na'imah) dan pasport diserahkan hari ini dan ia perlu diserahkan semula kepada mahkamah pada 11 Nov," kata Azura semasa sebutan kes itu.
Terdahulu Nizamuddin memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport untuk sementara bagi urusan kerja serta perjumpaan dengan peguam.
"Pihak kami mohon pasport diserahkan hari ini memandangkan perjalanan bermula 7 Okt dan pasport akan dipulang semula kepada mahkamah pada 11 Nov," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide berkata pihaknya tidak membantah permohonan itu.
Pada 23 Jan lepas, Na'imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pada 29 Jan, suami beliau yang berusia 86 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA