KUALA TERENGGANU: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyarankan Kerajaan Negeri Terengganu atau entiti berkaitan supaya mendaftarkan produk makanan ikan celup tepung atau dikenali sebagai ICT sebagai harta intelek milik negeri berkenaan.

Pengerusi MyIPO Mohd Zuhan Mohd Zain berkata perkara itu penting bagi memelihara produk makanan terkenal di Terengganu itu ditiru pihak lain.

"Ikan celup tepung ini produk yang terkenal di Terengganu tetapi sehingga kini ia tidak dibuat sebagai satu cap dagang dari Terengganu, daripada berpuluh peniaga ikan celup tepung di sepanjang pantai di negeri ini semuanya hanya menggunakan nama sendiri.

"Kita hendak pelihara produk itu seperti produk Keropok Lekor Losong yang telah mendaftar dengan MyIPO. Jadi sebagai contoh orang di Australia tidak boleh pakai lagi nama Keropok Lekor Losong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pejabat Satelit MyIPO di Terengganu, di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zuhan berkata pembukaan pejabat satelit MyIPO pertama di Terengganu itu bagi memudahkan pelbagai golongan termasuk usahawan, pereka, inovator dan profesional untuk melindungi hasil ciptaan serta penjenamaan produk mereka.

Beliau berkata sebelum ini pemilik harta intelek di Terengganu terpaksa ke pejabat cawangan MyIPO di Kuantan yang turut menerima pelanggan dalam kalangan pemilik di Kelantan dan Pahang.

Dalam tempoh 2019 hingga Oktober tahun ini, MyIPO menerima permohonan sebanyak 47,283 harta intelek dari seluruh Malaysia dan daripada jumlah itu sebanyak 1,418 permohonan dari Terengganu.

"MyIPO berharap dengan adanya pejabat satelit yang baharu ini lebih ramai individu di Terengganu mendaftarkan harta intelek mereka, lantas menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

"Kita juga difahamkan terdapat lebih 14,000 usahawan yang bernaung di bawah YPU jadi kita harap lebih ramai usahawan di bawah YPU mendaftarkan dan mempatenkan produk mereka," katanya yang turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 114 golongan asnaf di Terengganu pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Kanan Korporat YPU Terengganu T. Ahmad Shabirin Awalludin berkata YPU sebuah entiti di bawah kerajaan negeri bersedia menjadi pihak yang akan mendaftarkan produk ikan celup tepung sebagai harta intelek di bawah kategori petunjuk geografi (GI).

"Kerajaan negeri telah mengambil peranan lebih jauh dalam mendaftarkan GI terutama seperti produk kain songket dan batik yang fokusnya di kawasan Kuala Terengganu, ukiran kayu di Besut dan anyaman mengkuang di Marang. Insya-Allah kita akan daftarkan ikan celup tepung yang terkenal terutama di kawasan Penarik di Setiu," katanya.

-- BERNAMA