Dewan Muslimat PAS Pusat pada Rabu menggariskan 13 perkara yang perlu diperhalusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-14 nanti.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perkara itu dijadikan teras awal dalam persiapan parti menuju PRU14 akan datang.

"Justeru, saya menyeru semua Muslimat Mujahidah di hadapan saya ini agar memperhalusi 13 perkara sebelum datangnya PRU14, iaitu: memantapkan organisasi dan kepimpinan Dewan Muslimat di semua peringkat; memantapkan jentera pilihan raya Muslimat - HalWa di semua peringkat; membersihkan daftar pemilih, program mendaftarkan pemilih baru; program menambahkan ahli PAS.

"Memperkukuh kerjasama wanita Pakatan Rakyat; mendekati anak rantau; mendekati pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO); falsafah dakwah dan berkebajikan merentas setiap program; menguasai kemahiran komunikasi, ICT, strategi dan penyelesaian konflik; konsisten menyantuni masyarakat dan pengundi; persiapan dana PRU14; dan mengikuti dan menguasai isu-isu penting di Malaysia," kata Siti Zailah dalam ucaptamanya pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat ke-53, pada Rabu.

Dalam pada itu, Siti Zailah turut menggesa agar kaum Muslimat kembali kepada peranan asas mereka sebagai pendidik pertama dalam institusi keluarga.

Namun, katanya peranan tersebut hendaklah tidak mengenepikan peranan sebagai pemimpin di tempat kerja, masyarakat dan negara.

"Kita mestilah menjadi contoh dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, juga bertindak sebagai agen perubahan ke arah masyarakat dan negara yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia," kata Siti Zailah.

Selain itu, beliau juga menyifatkan kaum wanita pada hari ini sebagai entiti rasmi negara yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial, ekonomi dan politik.

Dewan Muslimat mengadakan sesi Muktamarnya yang ke-53 bermula dengan majlis perasmian pada Rabu, 20 November dan pemilihannya pada Khamis, 21 November.

Majlis tersebut diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam.