Syarikat-syarikat kawalan keselamatan diseru agar mendapatkan bantuan pihak polis dalam menjaga kediaman orang ramai pada musim perayaan.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) Datuk Seri Mustapa Ali berkata, dengan kerjasama itu nanti, pihak polis dapat membuat rondaan berkala di kawasan tempat tinggal sekaligus memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.

Kata Mustapa, dengan lambakan projek perumahan ketika ini dan permintaan industri kawalan keselamatan yang semakin meningkat, adalah penting bagi syarikat kawalan keselamatan memohon bantuan pihak berkuasa bagi menambah baik kualiti perkhidmatan.

"Syarikat-syarikat keselamatan yang sedang menjalankan perkhidmatan di kawasan-kawasan perumahan ini disarankan agar menghubungi pihak polis bagi berkongsi maklumat dan meminta bantuan rondaan berkala agar kejadian-kejadian seperti kecurian dan rompakan yang popular berlaku ketika cuti musim perayaan dapat dihindari,” kata Mustapa ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.


Perkhidmatan bermusim

Dalam pada itu, Mustapa turut mencadangkan agar mereka yang tinggal di kediaman persendirian dan memerlukan pengawal keselamatan bagi tempoh masa tertentu boleh menghubungi PPKKM untuk mendapatkan bantuan.

"Bagi mereka yang mahu mengambil khidmat pengawal keselamatan untuk tempoh yang singkat, misalnya seminggu hingga dua minggu, tetapi tidak tahu syarikat mana yang menyediakan perkhidmatan begitu, dinasihatkan agar menghubungi PPKKM.

“Pihak kami boleh mencadangkan syarikat-syarikat yang bertanggungjawab dan amanah serta berdaftar dengan PPKKM untuk membantu orang ramai,” kata Mustapa.

Untuk mendapatkan khidmat PPKKM, orang ramai boleh menghubungi di talian hotline PPKKM 03-7804 7359 atau 03-7804 7359.