TENOM: Pejabat Kesihatan Daerah Tenom mengaktifkan inisiatif pemberian vaksin secara bergerak dengan menyasarkan penduduk daerah itu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Tenom, Dr Francesca Primus Chew, pemberian vaksin tidak lagi diberikan di dewan-dewan sebaliknya pasukan petugas kesihatan akan turun padang ke PPS banjir.

Jelasnya, inisiatif itu juga membantu merealisasikan objektif pemberian vaksin di pedalaman Sabah.

"Sebenarnya pemberian vaksin COVID-19 ini biasanya kita buat di dewan tetapi disebabkan kawasan Tenom ini dilanda banjir dan program imunisasi ini harus diteruskan jadinya kita mengambil inisiatif memberi vaksin di pusat-pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

"Di sini mangsa-mangsa banjir sudah berkumpul di satu dewan dan kita mengambil peluang ini dengan datang memberi vaksin kepada mereka," katanya yang ditemui di pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Kampung Pantongon, Tenom pada Ahad.

Program tersebut kini memasuki hari kedua yang mana operasi pertama dimulakan di kawasan Rundum dan Kepulu dan diteruskan di Pantongon pada Ahad.

Jelas Dr Francesca lagi ini adalah merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Sabah dan salah satu sebab inisiatif itu dijalankan adalah bagi membantu masyarakat pedalaman yang tidak tahu mengenai vaksin dan aplikasi MySejahtera.

Beliau turut mendedahkan, sejak program imunisasi ini bermula kebanyakan masyarakat di pedalaman tidak tahu menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Jadinya pendaftaran melalui MySejahtera di pedalaman sebelum ini dia tidak menggambarkan kepada angka yang sebenar.

"Sebenarnya ramai yang setuju dan mahu divaksin tetapi tidak dapat mendaftar di MySejahtera serta kehadiran kami di kampung-kampung secara tidak langsung membantu mereka untuk mendaftar," jelasnya.

Tambahnya program vaksin bergerak dan klinik bergerak akan diteruskan dan buat masa ini memberi tumpuan kepada pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di Tenom yang dianggarkan melebihi 5,000 mangsa.