Maklumat dan video yang tular di media sosial mencetuskan persoalan adakah anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini sedang bertarung nyawa itu cedera dibelasah sekumpulan individu atau menjadi mangsa kemalangan di lokasi kejadian?

Muhammad Adib didakwa diserang dalam kekecohan di Kuil Maha Mariamman USJ25, Seafield, Subang Selangor dikatakan dilanggar jentera bomba yang sedang berundur pada malam Selasa.

Malah, menerusi sebuah video yang diterima Astro AWANI, Muhammad Adib diangkat dan diselamatkan oleh sekumpulan individu bangsa India yang berada di tempat kejadian.

BACA: Anggota bomba cedera, jentera dirosakkan

BACA: Insiden Kuil Sri Maha Mariamman: 'Kamu kuat, kamu perlu cepat bangun' - rayu tunang pada bomba

BACA: Muhammad Adib dipindahkan ke IJN, semakin stabil


Video berdurasi 2:15 saat itu menunjukkan kumpulan itu mengangkat seorang individu yang memakai pakaian seragam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan mencari kenderaan untuk membawa Mohamad Adib ke hospital.

Berikut terjemahan percakapan individu yang membantu anggota bomba dipercayai Muhammad Adib:

"Lihat ya ... ini anggota bomba biasa ... anggota bomba. Tolong cari kenderaan, tolong bawa dia. Tolong usung ....tolong usung dia, bagi laluan...

"Tolong tepi tepi..tolong bagi laluan, anggota bomba... Hold his body...angkat dia... Cari kereta, kami nak tolong ini...

"Ini anggota bomba Melayu ... kami tolong saja...Tak der apa abang rilek, abang tenang ya (rilek abang)",
pesan individu kepada anggota bomba.

"Kalau kami soal... mereka labelkan kami ini orang jahat. Ok ok, you rilek abg ((mereka bagitahu kat anggota bomba).

"Siapa ada kereta, tolong berhentikan HILUX itu...Tolong berhentikan kereta itu...

"Abang boleh tolong bawa dia ke hospital, tolong naikan dia kat belakang kenderaan

"Kak boleh tolong tak, tolong jaga jaga... angkat dia

"Naikkan ...
", sambil mengangkat anggota bomba berkenaan ke bahagian belakang pacuan empat roda, untuk membawa beliau ke hospital yang berdekatan.

MOHAMAD ADIB BERADA DI BELAKANG JENTERA BOMBA?

Apa yang menarik perhatian ialah sebuah lagi video menunjukkan sewaktu kekecohan berlaku, seorang anggota bomba dipercayai sedang berdiri di belakang jentera bomba.


Ia susulan tindakan sekumpulan individu bertindak menyerang jentera bomba berkenaan sehingga memaksa jentera bomba tersebut berundur. Sebuah van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di belakangnya turut sama dilanggar.

[Astro AWANI sedang mendapatkan respon pihak JBPM berhubung maklumat serta video berkenaan].

Sementara itu, dalam satu sidang media oleh pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman pada Selasa, Pengerusi Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, S.Ramaji menegaskan dakwaan yang Mohammad Adib dibelasah adalah palsu.

"Sebelum ini ada khabar angin yang mengatakan perusuh mengeluarkan mangsa dan belasah dia, tetapi selepas kami meneliti video kami dapati pegawai bomba itu sedang berdiri di belakang jentera itu sebelum dilanggar ketika mengundur dengan laju.

"Tetapi apa yang terjadi adalah kumpulan 'perusuh' itu yang mengangkatnya dan membawanya terus ke hospital," kata S.Ramaji.

Sebelum ini, Muhammad Adib dilaporkan telah ditarik perusuh dari tempat duduk penumpang van EMRS dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.