Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain menjimatkan masa dan kos, sistem infrastruktur bertaraf dunia itu juga merupakan pemacu perubahan kepada rakyat.
Ujarnya, dianggarkan seramai 400,000 penumpang akan menggunakan Laluan SBK sepanjang 51 kilometer itu setiap hari.
“Sebuah tren dengan empat gerabak boleh membawa 1,200 penumpang dengan selesa... bayangkan ruang yang diperlukan jika setiap penumpang ini terus menggunakkan kenderaan masing-masing untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.
“Jika jumlah penumpang ini meninggalkan kereta masing-masing di rumah dan mengambil tren, bayangkan ruang kosong yang dapat diwujudkan di atas jalan serta pemilik kenderaan dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan,” katanya yang merasmikan MRT SBK di Stesen Tun Razak Exchange di sini hari ini.
Najib berkata sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau sedar Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan jaringan sistem pengangkutan yang efisien dan boleh diharap dengan kadar berpatutan untuk semua golongan masyarakat.
"Kita sedar apabila melihat pengalaman di ibu kota lain di rantau ini, kesesakan lalu lintas amat teruk sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa selama lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari di atas jalan raya.
"Sebelum perkara itu terjadi di Kuala Lumpur, kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelak keadaan itu (kesesakan) kerana tanda-tanda sudah boleh dilihat terutama apabila keadaan hujan," tambahnya.
Katanya, dengan jaringan sistem pengangkutan yang terbaik, ia sekaligus dapat memberikan manfaat kepada rakyat seperti menjimatkan masa dan kos perjalanan ke sesuatu tempat, meningkatkan produktiviti dan semangat kerja selain membantu mengurangkan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata projek MRT Laluan SBK berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada hujung bulan ini selain menjimatkan sejumlah RM2 bilion kepada RM21 bilion daripada sasaran awal kos projek sebanyak RM23 bilion.
Selain memberi perkhidmatan MRT SBK percuma pada hari ini, beliau turut mengumumkan pengurangan 50 peratus kepada pengguna perkhidmatan itu termasuk LRT, Monorail dan BRT bermula esok hingga 31 Ogos.
Laluan SBK terdiri daripada 19 stesen itu beroperasi sepenuhnya pada 4 petang ini dan turut meliputi tujuh stesen pertukaran ke perkhidmatan rel sedia ada.
Menerusi kemudahan rangkaian ke perkhidmatan rel lain, Kerajaan turut menjangkakan penurunan 160,000 kenderaan persendirian memasuki Lembah Klang setiap hari.