Naza Euro Motors Sdn. Bhd. baharu sahaja melancarkan model MPV Grand C4 Picasso oleh Citroen yang dijual pada harga RM179,888 (harga atas jalan). Dengan kapasiti tujuh tempat duduk, ia dijangka akan dapat menjadi antara model paling laris yang dijual Citroen; dan mengikut statistik MAA (Persatuan Automotif Malaysia), MPV adalah sub-segmen kedua terbesar di Malaysia untuk tahun 2014 iaitu pada 16%.

Sebelum ini, Naza Euro Motors telah terlebih dahulu memperkenalkan model sama tetapi varian diesel seperti yang telah kami laporkan di sini.

Citroen Grand C4 Picasso ini mempunyai penggayaan menawan serta diberikan bahagian hadapan baharu serta bahagian belakang dilengkapi pintu ‘tailgate’ automatik.

Ruang kabin mendapat bumbung kaca dan cermin hadapan panoramik. Penumpang duduk di atas kerusi mewah yang dibalut kulit ‘Cuir Nappa’ dua tona.

Papan pemuka Grand C4 Picasso ini lengkap dengan skrin sentuh tujuh inci sebagai antara-muka pemandu-kenderaan, skrin panoramik 12 inci dengan sistem navigasi, Park Assist System, Active Cruise Control, kamera undur dan juga fungsi urut daripada kerusi-kerusi hadapan.

(Gambar fail)

Kenderaan ini dipacu dengan kuasa 163hp dan tork berjumlah 240Nm daripada enjin 1.6-liter THP yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Ia membantu kenderaan ini mencapai 100km dalama masa 8.7 saat. Mengikut Citroen, kadar penggunaan petrol adalah serendah 5.8 liter bagi setiap 100km (pemanduan keadaan urban+lebuh raya).

Ciri-ciri keselamatan standard termasuk Collision Risk Alert, Hill Start Assist, Lane Departure Warning System, dan ESP.

Setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.