KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan agar pengambilan tenaga kerja asing yang diberikan kepada sektor perladangan diperluaskan kepada sektor ekonomi lain.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, pihaknya juga menyarankan agar Jawatankuasa Tindakan Khas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam jangka panjang.

"Majlis mengesyorkan agar pengambilan tenaga kerja asing juga perlu diperluaskan kepada sektor ekonomi selain perladangan bagi memastikan sektor-sektor ekonomi yang telah dibuka semula ini dapat beroperasi seperti prapandemik.

"Majlis juga berpendapat, pelaksanaan juga perlu segera dan terselaras agar tidak timbul kesulitan kepada pihak industri yang dalam proses pemulihan.

"Namun majlis menyarankan agar Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam jangka panjang," katanya pada sidang media MPN pada Jumaat.

Selain itu, Muhyiddin berkata MPN mengesyorkan agar bantuan yang dicadangkan bagi sektor PKS perlu lebih bersasar.

Beliau menjelaskan, MPN mencadangkan agar bantuan-bantuan tersebut perlu diberikan kepada sektor-sektor yang kritikal.

"Setelah meneliti cadangan-cadangan oleh Jawankuasa Tindakan Khas PKS ini dan secara dasarnya MPN bersetuju supaya ia disusuli dengan lebih lanjut.

"Dan dalam hal ini majlis turut berpandangan bahawa cadangan-cadangan bantuan kepada sektor-sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang kritikal," katanya.

Muhyiddin juga memaklumkan, MPN turut mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan COVID-19 kendiri dan mendapatkan suntikan dos penggalak.

Jelas beliau, pihaknya berpendapat perlunya langkah proaktif dan lebih ketat dalam mengawal ancaman varian Omicron.