KUALA LUMPUR: Institut Akhbar Malaysia (MPI) menganjurkan pelbagai program bagi memperkasakan pengetahuan pengamal media tempatan termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha meningkatkan mutu dan kualiti pemberitaan masa kini.

Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata usaha itu juga bertujuan memastikan teknologi AI yang disifatkan sebagai alat produktiviti digunakan secara beretika dalam industri.

"Di MPI, kita anggap AI ini sebagai rakan, kita tidak patut berasa takut-takut tentang AI kerana ia adalah alat produktiviti dan wartawan boleh menggunakannya untuk memperhebat penyampaian berita secara lebih menyeluruh termasuk membantu mendapatkan maklumat khususnya latar belakang berita dengan lebih pantas.

"Bagaimanapun, bercakap tentang kewartawanan, perkara paling penting adalah etika, jangan gunakan AI untuk memanipulasi sesuatu perkara... misalnya ada orang kata kita ada alat produktiviti yang boleh menyamai suara atau wajah seseorang, kalau kita dalam bidang kewartawanan, itu adalah sesuatu yang tidak patut kita lakukan.

"Kenapa kita nak memanipulasi, memakai atau memasukkan sesuatu, kita tidak sepatutnya berbuat demikian," katanya dalam temu bual eksklusif Bernama Radio mengenai media baharu era AI hari ini.

Beliau juga berkata pihak MPI sedang mempertimbang langkah membawa pakar dalam bidang AI untuk memberikan pendedahan lebih meluas mengenai perkembangan teknologi itu.

"Sebenarnya minggu lepas, kita sudah adakan program AI di Kuching, Sarawak untuk menjelaskan aspek-aspek AI dari segi minat atau kehendak pembaca... kita bercadang untuk perluaskan di banyak tempat lain seperti Sabah dan juga di Semenanjung.

"Selain itu, kita dapat banyak permintaan daripada pertubuhan berita untuk kita bawa pakar AI dari luar negara dan perkara ini kita sedang kaji, mungkin kita akan mendapatkan pakar dari negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, India atau China.

"Jadi, dapatkanlah manfaat daripada pendedahan ini tentang cara untuk melakukannya, melakukannya bukan sahaja dengan betul tetapi juga secara beretika," katanya

-- BERNAMA