Katanya, hasil soal siasat terhadap dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu mereka mengaku mengikat tangan dan menutup mulut dengan pita pelekat sebelum dicampak ke Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu pada 4 September lalu bagi melupuskan bukti.
“Motif pembunuhan Sabari yang hilang dari rumahnya di Baling selepas soal siasat ke atas dua lelaki yang ditahan, mengaku niat awal mereka ingin menyamun namun selepas wajah suspek dicam mereka terus mengambil tindakan mengikat tangan dan menutup mulut dengan pita pelekat lalu membawa mangsa dan mencampak ke dalam sungai bagi melupuskan bukti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan kehilangan Sabari akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan ia berakhir di dalam Sungai Padang Terap.
Dalam pada itu Fisol berkata operasi pencarian jasad Sabari dihentikan pada petang Rabu selepas tiga hari polis gagal menemui sebarang petunjuk.
Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang yang membabitkan mangsa dan dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.
Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.
Kehilangan mangsa menjadi misteri oleh ahli keluarganya apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, namun mangsa dilaporkan tiada di tempat kejadian.
Berikutan itu, ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji milik mangsa ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.
Pelbagai usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga namun Sabari masih gagal dikesan.