Ringkasan AI
- Maklum Balas MOTAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memberi maklum balas mengenai isu daftar masuk hotel dan inap desa yang semakin lewat sekitar jam empat petang.
- Keluhan Rakyat: Kerajaan mengambil maklum keluhan rakyat mengenai waktu daftar masuk yang dianggap tidak adil kerana tempoh penginapan yang singkat.
- Kebebasan Pemilik Hotel: Pemilik hotel dan inap desa bebas menetapkan masa daftar masuk kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang perhotelan.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengambil maklum keluhan rakyat mengenai perkara berkenaan.
“Walaupun isu ini tidak dibincangkan di dalam mesyuarat hari ini, saya akan panjangkan kepada MOTAC untuk mereka memberi maklum balas,” katanya.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, pada Rabu.
Media pada minggu lalu melaporkan tindakan sesetengah hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam empat petang dan perlu keluar pada pukul 11 pagi.
Tindakan berkenaan mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya berasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel dipetik berkata, pemilik hotel dan inap desa bebas menetapkan masa daftar masuk kerana ia tidak termaktub di dalam undang-undang perhotelan.