KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Datuk Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas yang baharu berkuat kuasa 8 Mei ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mohd Khalid akan menggalas tanggungjawab tersebut dengan memangku gred VUYA5 (JUSA A).

Beliau berkata pelantikan Mohd Khalid itu bagi menggantikan Datuk Baharuddin Ahmad yang akan bertukar ke Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Di MKN, Baharuddin akan menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Komunikasi Strategik)," katanya.

Mohd Khalid dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I pada 25 Okt 2022.

-- BERNAMA