KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan tengah hari tadi.

"Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dan Leftenan Udara I Mohd Iqmal Masdi.

"Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan-Nya jua," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini.

Dalam kejadian pada 12.10 tengah hari itu, seorang penuntut Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu jurulatih meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Segamat.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi jurulatih cedera dan masih menerima rawatan.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, TUDM menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai serta menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

Innalillah wainnailaihirojiun. Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu Mendapat perkhabaran duka kejadian...

Posted by Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan on 

-- BERNAMA