Bas-bas yang membawa pekerja kilang telah menghentikan perkhidmatan mereka di pintu masuk Kastam Johor sebagai tanda protes ke atas kenaikan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP).
Salah seorang pekerja kilang yang terlibat, Nandini Rajah, 31 berkata, aliran trafik dilihat sudah mulai sesak sekitar pukul 4:40 pagi.
“Saya keluar bekerja pukul 4:40 pagi, jalan sudah sesak kemudian semua bas berhenti tak mahu teruskan perjalanan di pintu masuk kastam” cerita Nandini ketika dihubungi Astro AWANI.
Ribuan pejalan kaki berjalan kaki memasuki Singapura - Foto Nandini
Orang ramai yang terkandas di kesesakan pagi ini - Foto Nandini
Kata Nandini, dia dan rakan-rakannya sebelum itu menunggu bas beroperasi semula, namun kemudian membuat keputusan untuk berjalan kaki ke tempat kerja.
Ribuan pekerja kilang berjalan kaki memasuki Singapura ke kilang masing-masing bermula jam 6 pagi.
Nandini memberitahu, perjalanan tadi ke kilang masing-masing mengambil masa sekitar 30 sehingga 40 minit.
Beberapa twit orang ramai yang mengeluh dengan keadaan tersebut turut dilihat trending di media sosial.
Terbaru, lebih kurang jam 10:30 pagi, Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dalam Twitter rasminya melaporkan bahawa kesemua bas 160, 170, 170X dan 950 telah mula beroperasi sepenuhnya.
Singapura telah mengumumkan kenaikan caj VEP daripada S$20 (RM51.40) kepada S$35 (RM90) sehari.
Manakala kadar tol baharu arah masuk Malaysia bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 masing-masing ialah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 manakala kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80; RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.