SABAN tahun bulan Mei merupakan bulan yang signifikan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang meraikan tanggal 1 Mei sebagai Hari Pekerja.

Sejarah tercipta dengan bermula pada Hari Pekerja pada tahun ini, menyaksikan lebih banyak pemintaan tenaga kerja dalam pasaran berbanding beberapa tahun yang lalu.

Justeru, agenda pemerkasaan tenaga kerja tempatan amat sinonim dengan kesinambungan kegemilangan negara yang digarap dalam konsep Malaysia MADANI.

Walau bagaimanapun, ketika negara berhadapan dengan gelombang penularan COVID-19 sejak Mac 2020, urusan terpenting kini adalah era baharu pasaran pekerjaan di fasa endemik agar kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat yang terhimpit dalam ekonomi, sosial dan emosi termasuk tenaga buruh di Malaysia dapat dipulihkan.

Melihat kepada keadaan pasaran pekerjaan semasa di Malaysia, Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati situasi tenaga buruh pada Februari 2023 menunjukkan pemulihan apabila kadar pengangguran menurun kepada 3.5 peratus dengan 591,900 orang penganggur berbanding 3.6 peratus dengan 596,100 penganggur pada Januari 2023.

Kadar ini menunjukkan bilangan tenaga buruh naik 0.2 peratus yang mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh seramai 16.78 juta orang.

Berdasarkan situasi berkenaan, golongan pekerja merupakan kelompok yang paling terkesan setelah berlakunya pandemik COVID-19.

Untuk memastikan operasi berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial pada fasa pemulihan ini, usaha untuk memastikan pembangunan modal insan yang berdaya tahan penting untuk dilakukan secara lebih menyeluruh melibatkan semua agensi pelaksana dan pemegang taruh.

Justeru, intipati utama program pembangunan kompetensi tenaga buruh tempatan perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baru (upskilling), memperkasa kemahiran sedia ada (reskilling) dan menyilangkan tenaga buruh sedia ada dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksanakan kepelbagaian tugas agar selari dengan keperluan semasa ketika berhadapan dengan ekosistem pekerjaan yang semakin mencabar.

Melalui Belanjawan 2023, kerajaan turut memanjangkan usaha pembangunan modal insan khususnya kepada golongan belia dengan mewujudkan insentif berkonsepkan  ‘Place and Train’ antaranya dengan Program Academy In Factory (AiF) bagi pelatih bertujuan untuk menyediakan peluang latihan sambil bekerja di kilang, Program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang menyediakan peluang pekerjaan jangka pendek (kontrak) di pelbagai Kementerian, Agensi Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Rakan Strategik dan Program Profesional Training and Education for Growing Entreprenuer (PROTEGE) bagi graduan menganggur dalam pelbagai bidang pengajian bertujuan untuk meningkatkan potensi kebolehpasaran dan kemahiran keusahawanan.

Selain itu, bagi memastikan agenda untuk memulih, membina dan memangkin semula tenaga buruh muda tempatan yang berdaya tahan dalam era endemik, program latihan dan peningkatan latihan misalnya melalui HRD Corp iaitu Program Latihan Kemahiran Pekerja melalui dana bagi majikan yang berdaftar dan mempunyai levi terkumpul bertujuan untuk melatih kemahiran pekerja-pekerja serta Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantisan TVET dan  Lepasan Sekolah yang menyediakan insentif RM600 sebulan selama tiga bulan bagi majikan bertujuan untuk menggaji graduan TVET oleh Perkeso seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Antara syor untuk memastikan modal insan yang berdaya tahan dalam wadah Malaysia Madani adalah dengan menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada tenaga buruh tempatan termasuk golongan belia dan graduan.

Walau bagaimanapun, penglibatan tenaga buruh tempatan perlu diperluaskan dan disaran untuk merebut peluang dan insentif yang tersedia untuk dimanfatkan sebaiknya bagi membangunkan kompetensi diri.

Pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) perlu diperkasakan dengan menyediakan pembelajaran di tempat kerja yang sebenar sehingga 80 peratus latihan amali dan selebihnya pembelajaran teori di pusat-pusat latihan.

Pada masa yang sama, usaha menyemarakkan peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pemain industri perlu dilakukan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini.

Selain itu, corak pendekatan pengajaran dan pembelajaran terutamanya di institusi pengajian tinggi perlu berubah kepda berorentasikan kajian kes dan pembelajaran berasakan masalah dengan membawa cabaran semasa ke dalam kuliah.

Antara peluang pekerjaan yang berpotensi untuk dikembangkan khusus kepada golongan pencari kerja adalah peluang pekerjaan yang berorentasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan tenaga buruh tempatan tidak bergantung kepada pekerjaan yang ‘makan gaji’ semata-mata, tetapi golongan belia yang mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri.

Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini.

Usaha penjenamaan sektor 3D (dirty, dangerous dan difficult) perlu dipergiat secara berterusan dengan penawaran gaji yang setimpal bagi menarik minat tenaga buruh tempatan yang sebelum ini banyak dipelopori oleh tenaga buruh asing.

Kesimpulannya, usaha bersepadu dalam melahirkan modal insan yang berdaya tahan dapat memacu tenaga buruh tempatan agar selari dengan peningkatan berterusan dalam sektor pekerjaan.

Ini berikutan lebih banyak permintaan buruh fasa oleh pembukaan sektor ekonomi serta pewujudan peluang pekerjaan untuk mengekalkan pasaran perniagaan dalam era endemik yang semestinya akan menentukan kejayaan Malaysia yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI. Selamat Hari Pekerja 2023!


* Penulis ialah Profesor Madya (Pemajuan Profesional & Pendidikan Lanjutan) di Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.