Majlis Media Malaysia (MMM) yang akan ditubuhkan kelak harus dikendalikan sepenuhnya oleh pengamal media bagi mengelak timbulnya prasangka dalam kalangan masyarakat terhadap fungsi sebenar badan bebas itu.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, ia bagi memastikan badan pengawal selia media itu digerakkan berasaskan konsep dipacu oleh industri dan bukan didorong oleh kerajaan.

"Kita tidak mahu nanti masyarakat berasa media seperti keadaan dahulu, iaitu berasa dikawal oleh kerajaan. Kita mahu orang yang mengendalikan majlis ini datangnya daripada komuniti wartawan itu sendiri," katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama News Channel (BNC), malam tadi.

Wartawan veteran itu turut mencadangkan agar satu unit khas atau bahagian pengurusan pematuhan media perlu dibentuk menerusi majlis itu bagi mendengar rungutan berhubung laporan yang tidak seimbang atau berat sebelah.

Usaha menubuhkan badan pengawalseliaan media bebas itu sudah diperjuangkan oleh pengamal media tempatan sejak sekian lama bagi mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme, dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.

Dalam pada itu, Johan, yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan bekas Pengerusi Media Prima Berhad, turut berpendapat agar akta sedia ada dan bersifat lama perlu disemak semua atau dihapuskan.

"Akta (akta berkaitan media) yang misalnya mengekang media, dalam keadaaan sekarang (semasa) tiada sebab kita harus menggunakan akta itu. Saya fikir semua akta-akta ini merupakan akta bersifat 'pukat tunda' yang tiada kepentingannya pada waktu ini.

"Saya percaya, ini adalah antara janji Pakatan Harapan (PH) untuk meneliti semua akta yang dirasakan tidak sesuai dengan zaman, sesuatu yang mengekang, yang menjejaskan tugas dan kebebasan media harus disemak semula malah jika perlu dihapuskan terus," katanya.

Menurutnya, era Malaysia Baharu wajar dijadikan sebagai peluang dan titik tolak dalam menghentikan pemilikan dan kepentingan pemerintah dan parti politik dalam mana-mana syarikat media.

"Kalau boleh perkara itu tidak boleh berlaku lagi. Pemerintah tidak boleh menggunakan media untuk kepentingan mereka," katanya.

-- BERNAMA