Pengarah Pusat Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Zulfigar Yassin berkata teritip spesis lepas anatifera itu (sejenis spesis kosmopolitan) banyak terdapat di kawasan Lautan Hindi dari kawasan tropika hingga ke kawasan sub tropika.
Berikut adalah lima perkara yang anda perlu tahu tentang teritip yang ditemui dipermukaan pesawat tersebut:
1. Spesis teritip pada flaperon yang ditemui terdampar di Saint-Andre, Pulau Reunion ini dikenali sebagai sebagai 'lepas anatifera';
2. Teritip ini telah melekat pada serpihan sayap itu dalam tempoh enam bulan hingga setahun lalu;
3. 'Lepas Anatifera' hidup di dasar laut dengan suhu antara 18 hingga 20 darjah Celsius;
4. Teritip ini merupakan teritip pelagik yang melekat pada pelbagai objek terapung termasuk kayu hanyut, botol, bot, pelampung, rakit dan penyu; dan
5. Saiz dan tumbesaran spesis kerang itu akan tumbuh satu hingga dua sentimeter setiap setahun.
Serpihan yang mempunyai teritip ditepinya itu sudah dikirimkan ke Perancis untuk siasatan. Pasukan penyiasat Malaysia juga sudah berada di Toulouse, Perancis untuk membantu siasatan penemuan terbaru ini. - Foto AP
Sebelum ini pakar biologi marin daripada Naval School of Brest, Joseph Poupin yang telah memeriksa teritip pada serpihan pesawat itu berkata teritip ini boleh mengukuhkan lagi dakwaan serpihan sayap yang ditemui itu adalah sebahagian daripada pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu.
Pesawat milik Malaysia Airlines ini hilang kira-kira satu jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.
Pesawat itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.
BACA: Serpihan di Pulau Reunion milik MH370? Apa yang diketahui setakat ini?
Pasukan penyiasat setakat ini percaya pesawat itu berpatah balik daripada laluan yang ditetapkan dan kemudian terhempas di Lautan Hindi.
Serpihan daripada sayap pesawat itu mempunyai nombor bahagian pesawat "BB670" berdasarkan kepada foto yang dirakamkan di tempat ia ditemui.
BACA: Misteri MH370 hampir selesai, kata Aziz Kaprawi
Dalam sejarah penerbangan, ada lima nahas yang melibatkan pesawat jenis Boeing 777. Daripada lima nahas itu, hanya satu kejadian iaitu penerbangan MH370 yang masih belum diselesaikan dan satu-satunya nahas yang berlaku di kawasan Lautan Hindi.