SUDAH jelas lagi bersuluh, kunjungan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak selama dua hari yang berakhir Jumaat adalah untuk mengukuhkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Sesuai dengan mood "Good Friday", dengan Sarawak bercuti, kunjungan tersebut berlangsung dalam suasana muhibah dan mesra, apatah lagi ia pertama kali bagi "Tok Abah" sejak bergelar Perdana Menteri.

Elemen "politik" wujud secara tersurat dan tersirat, baik dari pertemuan empat mata dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, mahupun pertemuan dengan seluruh saf kepimpinan GPS.

GPS merupakan parti dominan di Sarawak dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Di peringkat Parlimen, GPS memiliki 18 kerusi, Bersatu 2 kerusi dan Bebas (Pro-Perikatan Nasional) 2 kerusi.

Manakala daripada 82 kerusi dalam DUN Sarawak, GPS menguasai 68 kerusi, termasuk PBB 47 kerusi manakala Bersatu satu kerusi.

Justeru dalam keadaan politik rapuh dan tidak menentu di Semenanjung, sudah pasti sokongan padu dari Sarawak terutamanya GPS amat diperlukan.

Muhyiddin (dua, kiri) menandatangani potret beliau pada Program Perjumpaan Masyarakat Samarahan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) Kota Samarahan pada Jumaat.

Atas alasan demikianlah, Muhyiddin bertindak bijak melakukan pertemuan ini, seusai kedua-dua pihak mendapatkan vaksin penuh COVID-19.

Ia perlu cepat bagi mengukuh pendirian dan mengikat kepercayaan kedua-dua pihak bahawa mereka sehaluan dalam bahtera politik.

Oleh yang demikian apabila Abang Johari secara terbuka berikrar "GPS menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin" dalam Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam, ia menjawab segala persoalan ini.

Dalam sidang media petang Jumaat, Muhyiddin memperkukuh kenyataan ini dengan jaminan PN juga akan menyokong penuh GPS untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak akan datang.

Teras kenyataan itu ialah GPS sebagai rakan sekutu PN dan mempunyai dasar perjuangan serta persefahaman yang sama.

"Apa yang penting adalah untuk memastikan kerajaan negeri yang stabil dapat dibentuk semula selepas pilihan raya negeri.

Bagaimana pula dengan Bersatu dan Pas, dan calon-calon yang telah dipersiapkan? Adakah mereka akan diberi peluang untuk bertanding, terutamanya Bersatu yang telah pun mempunyai satu kerusi; Datuk Ali Biju di Krian?

"Apa pun situasi kita yang ada di Sarawak ini ...  parti Bersatu dan PAS dalam PN akan memberi sokongan penuh.

"Apa yang penting tiada perpecahan kerjasama ... persoalan sama ada pembahagian kerusi yang akan diwakili komponen PN di Sarawak, perkara itu akan dibincang kemudian," katanya.

Benar, untuk mengukuh Kerajan PN,  GPS perlu dibantu untuk kemenangan dengan majoriti besar. Lebih utuh jika ia dimenangi secara "landslide".

Selain itu, bagi memastikan kerjasama kedua-dua pihak terus terjalin akrab , sudah tentu Muhyiddin perlu melihat secara mendalam beberapa permintaan "serius" Sarawak.

Kerana itu, beliau menggunakan platform "Jamuan Negeri" yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud untuk mengumumkan penubuhan tiga Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) -- yang akan membentangkan laporan serta syor-syor mengenai perkara yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa pada minggu depan.

Muhyiddin mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.

Tiga jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

Syor jawatankuasa kerja ini diharap dapat menjadi penyelesaian isu-isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, selain merungkai isu keselamatan negeri dan sosioekonomi selaras dengan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara.

Bahkan katanya, terdapat beberapa cadangan yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Sabah dan Sarawak kini sedang diteliti oleh Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu manakala perkara berkaitan dengan hal ehwal imigresen, pendaftaran negara, kawalan sempadan, pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan nelayan asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sabah dan Sarawak.

Urusan pembangunan sosioekonomi Sarawak seperti isu kemiskinan, infrastruktur jalan raya, kesihatan, pendidikan, capaian Internet dan telekomunikasi, caj dan sewaan tanah di bawah Ordinan Tanah Sarawak dan pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pula dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

Ini langkah bijak sebenarnya, kerana antara objektif utama GPS sejak penubuhannya adalah untuk menangani isu MA63.

Secara kesimpulannya, misi ziarah kerja julung Muhyiddin ini tampak berjaya dan berhasil.

Sekurang-kurangnya beliau lega, Sarawak telah membayangkan kesetiaan yang mengukuh kepada pentadbirannya.

"Tok Abah" seharusnya berasa bertuah, kerana lawatan kerapnya ke Sarawak sejak menjawat Timbalan Perdana Menteri ketika Kerajaan Barisan Nasional dahulu terus diingati.

Justeru apabila beliau mentafsirkan berada di Kuching umpama "balik kampung" ia bukan rekaan. Bezanya, beliau hadir sebagai Perdana Menteri dan perlu datang dengan buah tangan.