Dalam era Malaysia Baharu, kita menyaksikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau pada hari ini mengadakan sidang media pertama di pejabatnya di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Berikut adalah intipati seperti yang dicatatkan oleh wartawan Astro AWANI, Hilal Azmi.


Perkara terawal yang dinyatakan dalam sidang media tersebut adalah mengenai gandingannya bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara agenda yang akan diutamakan beliau dalam tugas adalah mengenai manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah dan menyelesaikan isu kanak-kanak terbantut.

Selain itu ujar beliau, pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri membuktikan golongan wanita di Malaysia mampu melakukan sesuatu yang hebat.

Beliau yang telah berjuang dalam menegakkan agenda reformasi negara sejak 20 tahun lepas turut menasihati golongan wanita untuk kekal gigih dan cekal dalam menempuh kehidupan.

Dalam pada itu, beberapa program dan dasar yang baik untuk negara akan diteruskan tetapi akan diaudit terlebih dahulu seperti program Permata.

BACA: Program Permata akan diaudit dan diteliti semula, kata Dr Wan Azizah