KUALA LUMPUR:Akibat memiliki beberapa butir peluru, sepucuk pistol dan sebilah parang tanpa kebenaran, seorang peniaga kuih cakoi dipenjara lima tahun oleh tiga Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini.

Ketiga-tiga hakim Jumirah Marjuki, Norhazani Hamzah dan Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Kow Peng Han, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan memiliki peluru, Jumirah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun; memiliki pistol, Azrul mengenakan hukuman penjara lima tahun manakala memiliki parang, Norhazani menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Bagaimanapun tertuduh hanya akan menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 10 butir peluru jenis 9mm (milimeter) Luger PMC dan sepucuk pistol model SIG Sauer P224 tanpa kebenaran sah, di simpang Jalan Perdana 2/3A, Pandan Perdana di sini, pada 10.45 pagi, 1 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa memiliki sebilah parang panjang berukuran 69 sentimer di tempat awam tanpa kebenaran sah, di lokasi dan masa sama, mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Terdahulu, Kow yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara minimum atas alasan dia bapa tunggal yang menanggung dua anak.

Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan S. Sangitaa memohon hukuman berat kerana senjata yang dimiliki tertuduh boleh menyebabkan kecederaan serius atau maut kepada seseorang.

"Kepentingan awam perlu diambil kira di dalam kes ini. Hukuman berat yang dijatuhkan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu sebuah kereta ditahan sepasukan anggota polis selepas kenderaannya dilihat beredar dari sebuah rumah di Pandan Perdana di sini dan siasatan menemukan peluru, pistol dan parang di dalam kereta berkenaan.

-- BERNAMA