Keluarga penumpang dan krew penerbangan MH370 yang hilang sewaktu dalam penerbangan ke Beijing kini berdepan dengan situasi sukar yang dikenali sebagai “grief” atau dalam erti kata lain situasi kehilangan orang tersayang dalam kehidupan.

Pakar Psikologi Kaunseling (Terapi Tingkah Laku Kognitif) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Huzili Hussin berkata, apabila berdepan dengan situasi “grief” ini, ahli keluarga akan menghasilkan reaksi-reaksi tertentu yang menggambarkan kehilangan yang dirasai itu.

Ujar beliau, apabila menghadapi keadaan ini, ahli keluarga akan menonjolkan empat perubahan dalam diri masing-masing iaitu perasaan, fizikal, pemikiran dan tingkah laku yang mana ianya mengambil tempoh masa yang agak lama untuk pulih.

Mh370

Katanya, dalam konteks biasa, mereka yang berdepan dengan situasi ini akan mencapai satu tahap tertentu untuk kembali bertenang dan menerima hakikat kehilangan yang mana biasanya ia dalam tempoh 15 hari yang pertama.

“Namun dalam konteks MH370, situasi yang dihadapi oleh ahli keluarga lebih teruk dari biasa bila mana kehilangan itu tidak nyata yakni tiada mayat atau petunjuk jelas dan ini akan membesarkan lagi gelombang kekeliruan dan ketidakpastian dalam diri mereka.

“Ia termasuk spekulasi-spekulasi yang bertebaran di media sosial dengan pelbagai andaian yang akhirnya akan meningkatkan tahap ingin tahu keluarga dan sekiranya dibiarkan, ia boleh menimbulkan masalah-masalah lain yang lebih serius, seperti kemurungan, putus harapan, masalah memori dan konsentrasi,” ujar beliau yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP.

Menurut Dr. Huzili lagi, dalam mengendalikan kes sebegini aspek menjaga kebajikan seperti yang dilakukan oleh kerajaan dan Penerbangan Malaysia adalah tepat dan boleh membantu mengurangkan tekanan yang dialami oleh keluarga.

“Saya melihat usaha kerajaan menyediakan dua kaunselor untuk setiap keluarga juga amat baik kerana mereka (kaunselor) akan lebih fokus terhadap emosi dan perasaan keluarga dalam kelompok yang lebih kecil.

“Ini penting kerana, dalam proses kaunseling, tumpuan dan fokus adalah proses yang terbaik untuk menghuraikan ketidakpastian yang wujud dan pada masa sama kaunselor juga harus menggunakan bahasa yang betul dan menenangkan,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai keluarga dari China yang melakukan tindak balas negatif, beliau berkata, nilai spiritual merupakan antara aspek yang tidak harus diketepikan.

Setiap dari kita, jelasnya, mempunyai manifestasi agama yang berbeza dan sewajarnya ia digunakan dalam keadaaan seperti ini.

“Misalnya, bagi keluarga beragama Islam, penganjuran solat hajat, bacaan yassin dan zikir yang diadakan sebelum ini membantu mengurangkan tekanan keluarga, dan saya merasakan agama lain juga wajar melakukan perkara yang sama.

“Penggunaan kain rentang dan sebagainya bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dan pada masa sama saya tidak menolak ia dilakukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan,” jelasnya.

Ditanya tentang tempoh masa yang diperlukan untuk meredakan isu ini beliau berkata: “100 hari adalah tempoh terbaik. Itulah proses di mana manusia boleh mencapai ketenangan.”

Tambah beliau, kerajaan juga sewajarnya membersihkan segala spekulasi dan pandangan negatif sesetengah pihak termasuk isu keluarga dari China dalam tempoh tersebut.

“Selepas 100 hari pendekatan berbeza perlu dilakukan untuk menangani permasalahan berkaitan MH370,” katanya.