Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal), METMalaysia, Ambun Dindang berkata penambahbaikan itu membolehkan keupayaan untuk memberikan ramalan bagi tempoh 14 hari akan datang berbanding tujuh hari, ketika ini.
Jelas beliau, sistem HPC tersebut dijangka beroperasi pada 2026.
"Dari segi ketepatan sekarang ini saya tengok berbanding 10 tahun yang lepas, kita sudah ada peningkatan walaupun ia bukan 100 peratus tepat.
"Tetapi sekurang-kurangnya kita menjangkakan bila berlaku kehadiran monsun dan luruan hujan di negara kita. Dengan maklumat-maklumat ini kita boleh memaklumkan kepada masyarakat dan agensi pengurusan bencana supaya setiap pihak itu bersedia lebih awal," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada malam ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan dalam menghadapi monsun timur laut akan datang, MET Malaysia telah memiliki data-data dan ramalan negeri yang akan berdepan dengan bencana banjir.
Ujarnya, bagi negeri di Pantai Timur, corak kejadian banjir lazimnya berlaku antara November dan Disember; negeri di Selatan (Disember dan Januari); manakala Sabah dan Sarawak diramal antara Januari dan Februari.
"Memang kita akan lakukan pemantauan cuaca 24 jam dan bilik operasi akan sentiasa dibuka.
"Taklimat cuaca juga dibuat setiap hari sepanjang musim monsun nanti bersama pejabat negeri untuk menjelaskan apa yang kita jangka sepanjang monsun ini dan lebih-lebih lagi dalam tempoh tujuh hari akan datang," ujarnya lagi.