KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Pantai Timur Semenanjung terutama di Kelantan dan Terengganu sehingga 12 Mac ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip berkata analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan angin timuran yang sedang berlaku, dijangka berterusan sehingga Rabu.

"Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di Pantai Timur Semenanjung terutama di Kelantan dan Terengganu.

"Oleh itu MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan sebaik sahaja output model-model ramalan cuaca mencapai tahap keyakinan yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hisham berkata MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 11 Mac.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

-- BERNAMA