PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 28 Jun ini.


Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Jun untuk membincangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Kelantan.
  • Kekosongan kerusi N43 Nenggiri berlaku tanpa jangka dan harus diisi dalam tempoh 60 hari mengikut undang-undang Kelantan.
  • Mesyuarat akan menetapkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh penamaan calon, hari pengundian, dan persediaan lain, dengan sidang media akan diadakan selepas mesyuarat tersebut.


Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi satu kenyataan hari ini berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kekosongan luar jangka kerusi N43 Nenggiri.

"Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman itu," katanya.

Beliau berkata mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.

Satu sidang media, katanya akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.

Terdahulu, Mohd Amar pada satu sidang media hari ini mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini.

Mohd Amar berkata keputusan dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Beliau berkata selain itu parti Bersatu pada 12 Jun lepas juga memaklumkan Mohd Azizi telah hilang keahlian, dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka pada kerusi berkenaan.

-- BERNAMA