KUALA LUMPUR:Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Negara ditangguhkan hari ini selepas tujuh hari bersidang dengan sembilan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Empat RUU yang diluluskan hari ini ialah Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri.

Sementara Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, manakala Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Abd Rahim ketika membentangkan dua RUU berkaitan cukai jualan dan perhidmatan itu memaklumkan pindaan itu dilakukan susulan pindaan yang telah dilaksanakan terhadap Akta Kastam 1967.

"Pindaan juga dilakukan bagi memperkemas pelaksanaan cukai jualan antaranya dengan menambah baik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar dan pembayaran balik cukai jualan secara tidak wajar.

Mohd Shahar pula berkata Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 melibatkan pindaan terhadap Akta Cukai Pelancongan 2017 (Akta 791) bertujuan untuk melaksanakan langkah cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Ia bagi memperluaskan skop berkenaan cukai pelancongan ke atas premis penginapan yang ditempah melalui pemberi perkhidmatan platfom digital bagi menyamaratakan layanan cukai pelancongan sedia ada.

Sementara itu, Wan Junaidi memaklumkan Akta Koperasi 1993 telah beberapa kali dipinda dalam usaha untuk memperkukuhkan elemen kawal selia ke atas koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

"Kementerian berpandangan bahawa Akta Koperasi perlu dipinda bagi ditambah baik bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa baik di dalam mahupun luar negara.

"Pindaan akta ini akan menjadi pemudah cara kepada gerakan koperasi di negara ini menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar," katanya.

Semalam, lima RUU yang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2020, Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2020.

Dewan Negara hari ini turut membahaskan isu panas kartel daging haram yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin dengan seramai sembilan orang senator mengambil bahagian sebelum Timbalan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid menggulung isu itu.

Sebelum mengakhiri sidang terakhir 2020 Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengucapkan terima kasih kepada semua Senator yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan menyumbang buah fikiran dalam suasana harmoni.

"Keadaan ini sekali gus menggambarkan nilai-nilai Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara," katanya

Beliau turut mengucapkan selamat tahun baru kepada semua Senator dan berharap 2021 akan membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada semua.

Persidangan dewan disambung hingga ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

-- BERNAMA