SHAH ALAM: Satu mesyuarat bersepadu akan diadakan minggu ini bagi membincangkan tindakan susulan berhubung isu pencemaran sungai sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa daerah di negeri ini minggu lepas.


Ringkasan AI
  • Mesyuarat bersepadu akan diadakan minggu ini untuk membincangkan tindakan susulan isu pencemaran sungai yang menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor.
  • Dua individu telah ditahan, dan LUAS berjaya menghentikan kira-kira 50 pihak yang menyebabkan pencemaran air tahun ini.
  • Selangor memberikan geran RM600,000 kepada 192 penerima untuk projek kelestarian alam sekitar.


Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata mesyuarat berkenaan antara lain akan membincangkan hasil siasatan ke atas penahanan dua individu terbabit dalam kejadian pencemaran sungai itu serta dapatan-dapatan lain yang berkaitan.

"Saya akan bincangkan dengan agensi-agensi terbabit mengenai langkah-langkah proaktif untuk kita jalankan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan air berkualiti kepada masyarakat terjamin.

Selain penahanan dua individu itu, pemantauan ketat oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tahun ini sahaja telah berjaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab kira-kira 50 pihak dikenal pasti melakukan aktiviti yang menyebabkan pencemaran air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Kecil Alam Sekitar Selangor 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, empat Loji Rawatan Air (LRA) Selangor terpaksa dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau dipercayai disebabkan kebocoran bahan akrilik yang mengalir ke Sungai Kundang dan Sungai Sembah sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air kepada tujuh daerah.

Mengenai majlis berkenaan, Jamaliah berkata sebanyak 192 penerima membabitkan institusi pengajian tinggi, sekolah dan persatuan komuniti menerima geran melibatkan jumlah keseluruhan RM600,000.

Beliau berkata inisiatif berkenaan dijalankan bagi menggalakkan penglibatan komuniti di Selangor dalam aktiviti kelestarian alam dengan menawarkan geran kepada komuniti yang menjalankan Projek Kebun Komuniti dan Projek Sistem Penuaian Air Hujan.

-- BERNAMA