PUTRAJAYA: Mereformasi Dana Menoktah Kemiskinan menjadi satu daripada lima ikhtiar Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan dalam negara.


Ringkasan AI
  • Kerajaan MADANI, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, komited untuk meneruskan reformasi fiskal dan merombak struktur subsidi kepada bantuan yang lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan.
  • Untuk mengatasi kebergantungan kepada dana kerajaan, kaedah pembiayaan berinovatif seperti dana impak sosial, perkongsian awam-swasta, dan pembiayaan campuran akan digembleng. Kerajaan juga menggalakkan sumbangan dana daripada GLC, GLIC, sektor swasta, dan sektor ketiga.
  • Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) mengawasi lebih 500 program oleh 29 kementerian dan agensi untuk memastikan kesejahteraan rakyat. MySPC berperanan memastikan keselarasan, nilai untuk wang, dan bantuan yang bermakna tanpa pertindihan dan pembaziran.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan komited untuk meneruskan reformasi fiskal sebagai sebahagian daripada langkah menstruktur semula ekonomi ke arah kemampanan.

“Ini termasuk merombak struktur subsidi menyeluruh kepada subsidi dan bantuan yang lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan.

“Kebergantungan kepada dana daripada Kerajaan semata-mata boleh menjejaskan kemampanan program kemiskinan dan mengakibatkan tekanan fiskal kepada Kerajaan.

“Bagi mengatasi cabaran ini, kita perlu menggembleng lebih banyak lagi kaedah pembiayaan berinovatif seperti dana impak sosial, perkongsian awam-swasta dan pembiayaan campuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Peluncuran Simposium Kemiskinan Kebangsaan 2024 yang berlangsung di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Kerajaan menggalakkan sumbangan dana daripada pelbagai pihak melalui penglibatan GLC, GLIC, sektor swasta dan sektor ketiga dalam inisiatif pembiayaan bersama untuk menyokong penyelesaian berasaskan komuniti.

“Kita sedia maklum badan zakat dan wakaf telah bergiat aktif dalam membantu asnaf di negeri masing-masing.

“Daripada laporan yang kita terima, ada penerima zakat telah menjadi pembayar zakat hasil daripada program pendayaan usahawan dan perniagaan.

"Justeru itu, Kerajaan menyeru supaya program seperti ini dilipatgandakan lagi di seluruh negara,” katanya.

Di bawah jentera Kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) terdapat lebih 500 program oleh 29 Kementerian dan Agensi yang dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“MySPC berperanan ke arah memastikan keselarasan, nilai untuk wang dan bantuan yang bermakna serta tidak berlakunya pertindihan dan pembaziran melalui tata kelola yang baik,” katanya.