PADA Jumaat lepas saya berpeluang menghadiri dialog yang bertema "Leadership With Excellence" bersama tuan rumah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof di Bangunan Parlimen.

Dialog tersebut dianjur oleh Old Putera Association (OPA).

Pengerusi alumni, Datuk Baskaran memulakan ucapan dengan nada yang agak pesimis apabila beliau melakarkan ketidakpuasannya terhadap perkembangan yang berlaku dalam negara.

Beliau merujuk kepada penyelewangan kewangan dan rasuah pada tahap tertinggi kerajaan dahulu dan agensi-agensinya di mana hak rakyat dalam sistem demokrasi tercabul.

Beliau menyanjung pemimpin-pemimpin dalam sejarah negara asing seperti Abraham Lincoln dan Mahatma Gandhi yang dikatakan merpertahankan sistem demokrasi serta maruah negara dan rakyatnya.

Kebimbangan beliau ialah Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah korupsi jika kepimpinan negara tidak berintegriti.

Sepanjang ucapan Datuk Baskaran, saya rasa resah kerana beliau enggan mengingati usaha pemimpin-pemimpin Malaya dan Malaysia terdahulu yang bertungkus-lumus membangunkan negara dan rakyat hingga ke tahap kejayaan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang.

Saya terdesak untuk mengingatkan beliau bahawa “The picture of Malaysia’s development is not all gloom and doom”.

Memang tercatat salah silap kerajaan sebelum Pakatan Harapan, memang ada kekurangan dan kelemahan setiap kerajaan yang memikul tanggungjawab besar membangunkan negara.

Ini suatu kelaziman dalam pembinaan negara baharu yang menghadapi pelbagai cabaran sosio-budaya, ekonomi, politik di dalam dan di luar negara.

Tidak semestinya kita menidakkan semua usaha pemimpin lama kerana ingin mencurah penuh keyakinan kepada pemimpin baharu.

Saya tertarik dengan ucapan Datuk Mohamad Ariff yang bukan sahaja diartikulasi dengan cemerlang dalam nada perdamaian malah penuh dengan idea untuk benar-benar merakyatkan parlimen dan memanifestasikan nilai demokrasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Di bawah kepimpinan beliau yang baru berusia setahun, sudah bermula pertemuan bersemuka dan berdialog dengan individu, NGO, CSO serta kumpulan-kumpulan yang berkepentingan untuk membincang isu-isu yang relevan dan mencadangkan cara menanganinya dengan baik. Inisiatif ini harus disokong oleh kita semua.

Barisan panel yang berdialog pada petang itu terdiri daripada empat ahli iaitu Datuk Mohamad Ariff Yusof, Yang Berhomat Fahmi Fadzil, Senator Bathmavati Krishnandan dan Datuk Baskaran.

Sementara dialog berkenaan dikendalikan oleh Dr KJ John di mana beliau menujukan beberapa soalan tersedia yang perlu dijawab oleh setiap ahli panel.

Agak luas skop soalan-soalan untuk diberi fokus tertentu.

Mengikut premis yang ditetapkan oleh penganjur iaitu negara ini sudah hilang tujuan atau “has gone astray”, soalan pertama meminta barisan panel memberi sebab mengapa ia berlaku.

Antara isu yang dibentangkan secara ringkas oleh ahli panel ialah:

1) Pendidikan serta kesedaran rakyat dan pegawai kerajaan dalam perkhidmatan awam diabaikan, menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak

2) Tumpuan kepada pembangunan material menimbulkan kesan negatif dengan adanya golongan “nouveau riche” yang sentiasa mengejar kebendaan

3) Polisi seperti Dasar Ekonomi Baru, B40, pembahagian 30 hingga 70 peratus menimbulkan masalah pelaksanaan

4) Tidak ada sistem “checks and balances” yang sempurna untuk memantau perpaduan, pembahagian kekayaan dan perkongsian kuasa

Antara keutamaan yang harus diberi tumpuan dalam usaha memulihkan perjalanan negara ke arah kemajuan yang diingini dalam alaf baharu ialah:

1) Perubahan institusi atau “institutional reform” termasuk institusi kehakiman yang memastikan prinsip “rule of law” benar-benar dipraktikkan dalam segala urusan negara dan rakyatnya

2) Mengubah ekosistem budaya dan sistem nilai rakyat Malaysia

3) Memperkasakan rakyat dan pemimpin supaya mereka memahami konsep dan prinsip demokrasi bukan sahaja di peringkat parlimen malah di setiap peringkat masyarakat

4) Media atau “fourth estate” harus dibersihkan untuk memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam pembinaan negara bangsa

5) Kuasa bahasa yang moderate harus ditekankan dalam segala wacana sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan

6) Harus ditanam nilai memadai di dalam "moral fiber" dan sistem nilai rakyat Malaysia. “Enough is enough”

7) Perubahan dalam kepimpinan perkhidmatan awam dan agensi penguatkuasa khususnya polis

8) Budaya pengurusan perkhidmatan awam harus diatur semula dan diperkukuhkan

9) Kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan harus menjalin kerjasama dengan CSO dan masyarakat sivil untuk menggubal polisi dan melaksanakannya di peringkat komuniti

10) Menanam nilai cinta kepada persekitaran dan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat

11) Menekankan nilai perpaduan dan harmoni dalam masyarakat sejak awal di bangku sekolah

12) Membina masyarakat yang menghargai ilmu, kasih sayang dan belas kasihan

Senarai cadangan yang dikemukakan oleh barisan panel sebagai jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan amat tepat dan jika diambil pakai oleh pihak berkuasa, bakal menghasilkan anjakan paradigma minda yang meluas dalam masyarakat.

Bukan semua cadangan ini baharu tetapi mungkin tidak dilaksanakan dengan konsisten dan serius.

Tidak guna disebut perubahan ini dan itu jika hanya terletak di bibir sahaja dan tidak menyerap hingga ke hati perut.

Mesti ada kejujuran serta komitmen yang berterusan sehingga ia menjadi darah daging rakyat.

Dengan kata lain, hanya boleh dilaung-laungkan slogan “Malaysia Baharu” jika orang Malaysia berpegang kepada sistem nilai yang boleh dibanggakan.

Tidak guna dibanggakan pembangunan ekonomi yang melangit jika rakyat korup dan tidak beradab.

Saranan yang paling relevan yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat ialah tanggungjawab membina negara yang makmur dan bermaruah mesti didukung oleh setiap rakyat Malaysia.

Kita semua boleh memainkan peranan sebagai pemimpin dan penggerak di mana sahaja kita berada untuk memastikan nilai-nilai murni tertanam dalam diri dan keluarga, komuniti kecil dan besar, tempat kerja dan organisasi di mana kita menyumbang tenaga.

Jangan pandai menuding jari dan memburukkan orang lain sahaja.

Tepuk dada dan tanya: “Apakah yang kita boleh buat untuk mengubah diri sendiri dan masyarakat untuk mencapai kebaikan? ”


* Datuk Halimah Mohd Said merupakan Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.