Penghakiman Mahkamah Persekutuan pada hari ini dalam kes Iki Putra Mubarak lwn Kerajaan Negeri Selangor tentunya memberikan implikasi yang luas kepada  kuasa-kuasa Dewan Undangan Negeri dalam meluluskan sesuatu Enakmen berkaitan dengan ajaran agama Islam.

Sementara kita menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor itu sebagai tidak berperlembagaan, ia tentu sekali mewujudkan rasa hiba dan kesedihan untuk pengamal undang-undang yang berhasrat untuk memperkasakan dan mengarusperdanakan Undang-undang Syariah dalam negara kita. Namun ratapan ini tidak boleh berterusan lama kerana ia adalah loceng amaran bahawa Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri tidak boleh duduk selesa jika mahukan undang-undang Syariah diperkasakan. Penghakiman ini tidak hanya menjejaskan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tetapi juga Enakmen Jenayah Syariah negeri lain yang mempunyai peruntukan pari materia yang sama atau hampir sama. Dalam masa yang sama ia bukanlah alasan untuk pejuang hak asasi dan kebebasan meraikan penghakiman itu sebagai kemenangan di pihak mereka.

Penghakiman Mahkamah Persekutuan hari ini jika diteliti tidak langsung memberikan hak atau kebebasan kepada mana-mana pihak untuk bebas mengamalkan ajaran seks songsang dalam mana-mana inci ruang negara kita. Ia tetap jenayah. Mahkamah Persekutuan hanya menekankan bahawa kuasa bagi memperundangkan kesalahan jenayah bagi Seks Luar Tabii hendaklah kekal berada dalam lingkungan kuasa Parlimen kerana Mahkamah berpandangan ia berada dalam Senarai Persekutuan sedangkan pihak berkuasa Agama Islam bukan hanya di Selangor tetapi dinegara kita berpandangan bahawa ia adalah dalam bidang kuasa mereka kerana ia adalah suatu kesalahan di dalam ajaran agama Islam. Kesalahan jenayah seks luar tabii di bawah Kanun Keseksaan akan mengudang hukuman yang sebenarnya lebih berat kepada pesalah iaitu 20 tahun penjara, denda dan sebat sedangkan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah hanya mengundang penjara selama 3 tahun, denda dan sebatan.

Ada yang bertanya mengapa kesalahan jenayah seks luar tabiie berada dalam kesalahan Kanun Keseksaan sedangkan seks antara lelaki dan wanita tidak pula berada dalam peruntukannya? Jawapannya kerana Kanun Keseksaan tidaklah digubal atas dasar ajaran agama maka perlakuan khalwat atau zina dikalangan lelaki dan wanita tidaklah dianggap suatu kesalahan jenayah mengikut Kanun tersebut tetapi kelihatannya menjadi suatu pandangan universal untuk seks luar tabii antara kaum sejenis dan haiwan dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah yang tidak boleh diterima.

Implikasi segera yang boleh dilihat dari penghakiman ini adalah Pihak Penguatkuasa Agama Islam Negeri yang membuat apa-apa serbuan cegah maksiat di dalam sebuah hotel boleh menangkap pelaku khalwat dan zina antara lelaki dan wanta di bilik hotel dan mendakwanya di Mahkamah Syariah tetapi penguatkuasa agama Islam tidak boleh menangkap pelaku liwat dan seks luar tabii contohnya antara lelaki dengan lelaki di bilik sebelahnya pula. Ini memberikan obligasi yang lebih kepada pihak Polis di Raja Malaysia kerana apa yang hanya boleh dibuat oleh pihak Penguatkuasa Agama Islam adalah membuat laporan polis akan kesalahan seks luar tabii tersebut untuk tindakan pihak Polis kerana kesalahan seks luar tabii itu tetap suatu perlakuan jenayah tetapi di bawah Kanun Keseksaan dan bukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri.

Sesuatu yang juga perlu ditekankan adalah sementara Mahkamah Persekutuan membuat kesimpulan bahawa kesalahan Jenayah Seks Luar Tabii adalah berada dalam bidang kuasa Persekutuan namun Mahkamah Persekutuan di dalam kesimpulan penghakimannya hari ini tetap mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri tetap mempunyai kuasa yang meluas untuk menggubal apa-apa perundangan berkaitan ajaran agama Islam.
Justeru, adalah amat perlu dalam sistem dichotomy mahkamah sivil dan syariah di negara kita, untuk Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri menyahut pengesahan ini untuk memperkasakan apa jua perundangan Jenayah Syariah yang jelas berada dalam lingkungan bidang kuasanya selain dan juga yang berada dalam bidang kuasa mal syariah seperti Hibah, Waqaf turut dikanunkan dengan sempurna. Tidak lah mustahil untuk penghakiman hari ini dijadikan hujah dan membuka pintu sempadan untuk lain-lain peruntukan di dalam Enakmen negeri-negeri dicabar pada masa hadapan. Para peguam bijaksana Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Negeri Selangor tentunya telah menyampaikan hujahan mereka dengan semaksima yang boleh tetapi kali ini penghakiman tida menyebelahi pihak negeri tetapi jangan dilupa dengan kesungguhan dan karisma mereka ini ia bukanlah noktah yang terakhir. Malahan pula Mahkamah dalam penghakiman itu ada membuat ingatan bahawa kuasa Parlimen untuk menggubal jenayah seks luar tabii itu belum lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri tidak boleh hanya berdiam diri apabila berdepan dengan jenayah seks luar tabii ini pasca penghakiman ini. Jenayah seks luar tabii tetap kekal jenayah Syariah, cuma keadaan tidak mengizinkan untuk Pihak Berkuasa Agama Islam mendakwa mereka diplatform Mahkamah Syariah. Nahi mungkar boleh diteruskan melalui proses pendidikan, kesedaran dan keinsafan.



* Datuk Ikbal Salam merupakan peguambela dan peguamcara di Tetuan Ikbal Salam & Associates, Johor Bahru

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI