Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sebanyak 125 kes diterima setakat ini dengan menakut-nakutkan mangsa kononnya terlibat dalam kegiatan menjual produk tidak berdaftar di platform berkenaan.
"Sindiket ini sentiasa menukar taktik penipuan mereka sesuai dengan situasi dan perkembangan semasa," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di sini pada Jumaat.
Menurut Ramli, sebanyak 8,802 kes penipuan melalui panggilan telefon direkodkan melibatkan kerugian RM434.2 juta bagi tempoh 2022 hingga Ogos tahun ini dengan penyamaran sebagai anggota polis mencatatkan kes tertinggi 2,411.
Ia disusuli taktik menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu 1,419 kes selain cabutan bertuah (1,038 kes), kakitangan syarikat penghantaran (540 kes) dan pegawai bank (539 kes).
Sementara itu, Ramli berkata tindakan memindahkan panggilan antara agensi ke agensi lain seperti kerap berlaku dalam kes penipuan menerusi panggilan telefon bukan cara kerja agensi kerajaan.
Beliau berkata penguat kuasa undang-undang seperti polis, LHDN dan Bank Negara Malaysia tidak menggunakan telefon untuk memberitahu seseorang itu terlibat jenayah.
"Sekiranya menerima panggilan meragukan dan dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain, itu adalah penipuan. Segera tamatkan panggilan bagi mengelak daripada menjadi mangsa," katanya.
-- BERNAMA