"Saya dah larang dia keluar dan tidak sedap hati disebabkan ketika itu angin kuat tetapi arwah bagi tahu nak keluar sekejap saja sebab nak beli barang untuk sambutan Hari raya Aidiladha."

Itu nada pilu Antilah Mat Isa, 55, ibu kepada Marziah Che Omar, 27, gadis yang meninggal dunia dalam kemalangan di Batu 13, berhadapan Masjid Siti Fatimah, dekat Jitra pada Jumaat malam.

Menceritakan kembali detik kejadian, Antilah memaklumkan anaknya itu menunggang motosikal seorang diri dan dikatakan cuba mengelak zink yang berterbangan daripada terkena dirinya. Bagaimanapun anaknya itu terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah belakang.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra sebelum dituntut keluarganya pagi tadi.


Menurut Antilah, dia sempat melihat kali terakhir wajah anaknya ketika dia keluar rumah pada jam 8.15 malam sebelum dimaklumkan jiran yang anaknya terbabit dalam kemalangan di hadapan masjid yang terletak kira-kira 15 minit kemudian.

Sebaik dimaklum oleh jiran anaknya terlibat kemalangan Antilah dan suami, Che Omar Hamid, 60, terus pergi ke tempat kejadian.

"Jiran datang beritahu anak kemalangan depan masjid. Terukkah (saya tanya)? Jiran kata tidak tahu, kakak pergi tengok dulu. Dia tidak beritahu meninggal ke tidak. Makcik pergi dan jalan sesak. Pakcik (suami) turun rasa tidak sedap hati dan tengok dia sudah terlentang di jalan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di rumahnya di Taman Bersatu, di sini, siang tadi.

Menurutnya, sebaik sampai di tempat kejadian, dia ternampak tubuh anaknya terbaring bertutup dengan payung tetapi tidak berani turun melihatnya kerana menggeletar seluruh badan.

"Dia dah bertunang, dan kata tahun depan (hendak berlangsung) masa cuti sekolah tahun depan. Tunang dia kerja di Kuala Lumpur, anggota tentera. Sudah balik semalam. Dia pun kemalangan di Pulau Pinang. Dia luka habis, lutut habis luka hendak balik tengok arwah," katanya lagi.

Antilah berkata, arwah yang juga mengidap Talassemia sejak berusia enam tahun kerap menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar sebulan sekali.

Katanya, semalam arwah mengadu tak sihat mungkin disebabkan penyakitnya dan lebih banyak berehat dalam bilik.

Jenazah Marziah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar, jam 2.30 pagi tadi.

Sementara itu kakak arwah, Mariani Che Omar, 34, berkata, sejak akhir-akhir ini arwah sangat manja malah dia minta masakan makanan kesukaannya ketika bertandang di rumahnya di Taman Gemilang, dekat Jitra minggu lalu.

Katanya, arwah juga sempat berseloroh dengan rakannya dan meminta rakannya menghias wajahnya sama ada pada hari raya atau hari kematiannya.