SAYA tidak ingat bila sebenarnya “oleh” ditalkinkan pengunaannya oleh banyak editor akhbar Bahasa Melayu.
Hal ini nampaknya berleluasa juga dalam pemberitaan TV dan radio.
Saya menganggapnya satu peristiwa pembunuhan kata yang amat tragis dalam sejarah penulisan dalam Bahasa Melayu.
Perkataan “oleh” adalah “kata sendi nama” untuk menunjukkan pembuat dalam ayat-ayat pasif.
Kamus Dewan edisi keempat memberikan takrif dan huraian “oleh” pada muka 1,095 dan 1,096.
Tidak pula disebutkan di dalam mana-mana kamus atau buku tatabahasa terbitan DBP bahawa “oleh” patut dihapuskan penggunaannya.
Pada masa ini kita berdepan dengan ayat-ayat seperti di bawah:
1. Bola itu ditendang Mamat.
2. Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri.
3. Rencana ini ditulis Johan Jaaffar.
Kita ambil contoh ayat yang pertama. Frasa nama (Mamat) itu ialah "pelaku diri ketiga", sementara "bola itu" ialah subjek ayat pasif.
Dalam ayat aktifnya (Mamat menendang bola itu), memang betul "bola itu" objek, iaitu objek kepada kata kerja transitif "menendang".
Secara mudahnya dalam ayat itu objek frasa nama ialah “Mamat” dan objeknya “bola itu.”
Ayat ini telah dipasifkan di mana “bola itu” berperanan sebagai objek, dalam ayat aktif.
Oleh yang demikian (lihat penggunaan “oleh” di sini) dalam konteks ini, “oleh” perlu digunakan. Samalah seperti dalam ayat:
“Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri” dan bukan “Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri.”
Memang ada keadaannya “oleh” sama ada boleh atau tidak perlu digunakan. Misalnya:
“Kuih itu sudah diambil Tomok semalam.”
Tetapi tidak ada salahnya menggunakan “Kuih itu sudah diambil oleh Tomok semalam.”
Di dalam ayat-ayat ini “oleh” tidak boleh ditinggalkan :
Anak dara itu dipatuk oleh ular.
Bilik saya digunakan oleh menteri wanita itu untuk bersolek.
Menara baharu PNB dicerobohi oleh dua orang warga Rusia.
Contoh lain adalah:
Duit untuk tujuan rasuah itu telah diambil oleh pegawai tinggi tersebut
Rumah besar Ketua Bahagian itu dibina oleh seribu orang pekerja.
Memang ada ketikanya “oleh” boleh ditinggalkan. Misalnya untuk ayat pasif di mana unsur subjeknya diberikan keutamaan:
Contohnya:
Kucing kurap itu diberi makan ayah pagi tadi.
Budak-budak itu kena kejar unta.
Mereka kena hasut pemimpin politik.
Sebenarnya “oleh” merupakan kata yang indah.
Dalam Kamus Dewan ditunjukkan beberapa contoh bagaimana “oleh” boleh digunakan pada awal perkataan:
Oleh tiada jalan lain hendak menyelamatkan dirinya, ia mencuba hendak terjun ke dalam air.
Dalam kitab-kitab lama Melayu pula ada ditunjukkan bagaimana “oleh” digunakan dengan indah dalam ayat-ayat seperti di bawah:
Maka oleh si penyadap budak itu dibawanya kembali ke rumahnya, dipeliharanya dengan sepertinya.
Maka disuruh buka oleh baginda, maka dilihatnya tatal bergulung seperti subang.
(dari Kitab Sejarah Melayu).
Saya sangat berharap agar para penyunting media berbahasa Melayu kembali menggunakan “oleh”.
Hanya dalam keadaan tertentu boleh ditiadakan kata sendi nama yang istimewa itu.
Alangkah indahnya Bahasa Melayu apabila kita membuat ayat seperti berikut:
Rumah yang indah itu dibina oleh tukang terbaik dari Johor.
Demikian juga halnya, banyak orang berpendapat bahawa “hari”, “bulan” dan “tahun” adalah redundant
dalam Bahasa Melayu.
Sebenarnya tidak! Maka itu kita menemui ayat-ayat pelik seperti ini dalam media berbahasa Melayu.
Majlis itu dibuat pada Jumaat
Dia dilahirkan pada 1985
Malaya mendapat kemerdekaaan daripada British pada 1957.
Alangkah indahnya ayat-ayat itu sekiranya ditulis
Majlis itu dibuat pada hari Jumaat.
Dia dilahirkan pada tahun 1985.
Malaya mendapat kemerdekaaan daripada British pada tahun 1957.
Begitulah struktur ayat Melayu yang baik lagi indah!
Janganlah terbawa-bawa dengan struktur ayat Bahasa Inggeris!
Pola pembentukan ayat kita berbeza, begitu juga binaan ayat kita.
Menurut Datuk Seri Dr Awang Sariyan, pakar bahasa dan juga Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kata lain yang nampaknya "diharamkan" oleh editor media berbahasa Melayu ialah "yang".
Pada pendapat beliau, pada masa ini banyak ayat yang salah dan amat janggal menurut akal budi Melayu.
Contohnya:
Perdana Menteri baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.
Rumah berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali.
Bilik digunakan menteri itu kini telah disita.
Sepatutnya:
Perdana Menteri yang baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.
Rumah yang berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali.
Bilik yang digunakan oleh menteri itu kini telah disita.
Menurut Dr Awang, contoh-contoh di atas adalah di antara sejumlah kejanggalan lain dalam "gaya media" kini.
Sememangnya kita memahami prinsip "ringkas, tepat, padat" dalam media tetapi tidak patut sampai mengorbankan asas bahasa, seperti yang dipertahankan dalam bahasa lain.
Oleh yang demikian, jangan bunuh “oleh”, jangan korbankan “yang” selain membuang “hari”, “bulan” dan “tahun”.
* Tan Sri Johan Jaaffar bukan pakar bahasa tetapi beliau pencinta dan pengguna Bahasa Melayu sejak di bangku sekolah lagi. Beliau juga penulis kreatif dan Tokoh Wartawan Negara.
Johan Jaaffar
Fri Jan 06 2023
Tan Sri Johan Jaaffar menganggap perbuatan mentalkinkan perkataan "oleh" oleh editor akhbar Bahasa Melayu sebagai satu peristiwa pembunuhan kata yang amat tragis dalam sejarah penulisan dalam Bahasa Melayu.
Iran tarik balik larangan ke atas WhatsApp & Google Play
Iran kurangkan sekatan internet dengan menarik balik larangan WhatsApp dan Google Play. Langkah ini mencetuskan perbincangan tentang penapisan dan akses media sosial global.
Presiden Jerman bubarkan Parlimen untuk pilihan raya
Steinmeier arahkan pilihan raya awal susulan kejatuhan gabungan kerajaan Scholz. Tinjauan menunjukkan parti Scholz ketinggalan di belakang blok konservatif pembangkang.
Israel serbu hospital Gaza, pesakit dan kakitangan dipindah
Tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan, utara Gaza, dan memaksa pemindahan ratusan pesakit dan orang awam, menyebabkan sebahagian kawasan hospital terbakar, kata pegawai Kementerian Kesihatan.
Serangan udara Israel di tempat lain di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk 15 dalam sebuah rumah di Gaza City, menurut petugas perubatan.
Serangan udara Israel di tempat lain di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk 15 dalam sebuah rumah di Gaza City, menurut petugas perubatan.
Susunan batu marmar dengan tulisan ayat al-Quran tarikan baharu di Gua Musang
Batu seberat 100 metrik tan beri imej baharu kepada kawasan tersebut, sambil mempromosi batu marmar asli bermutu tinggi di jajahan itu.
Nahas J2-8243: Rusia dakwa kabus tebal dan serangan dron punca
Pesawat Azerbaijan Airlines ubah haluan akibat kabus tebal dan amaran dron Ukraine. Rusia beri jaminan sokongan siasatan sambil menegaskan pentingnya menunggu laporan rasmi.
Nahas Azerbaijan Airlines: Mangsa selamat dakwa dengar bunyi dentuman
Pesawat J2-8243 terhempas di Kazakhstan, membunuh 38 orang. Mangsa menceritakan letupan, masalah oksigen, dan dakwaan campur tangan luar. Siasatan rasmi sedang dijalankan.
Azerbaijan dakwa pesawat yang terhempas diserang
Menteri Azerbaijan, Rashad Nabiyev, mendakwa pesawat yang terhempas pada Rabu diserang, berdasarkan analisis pakar dan keterangan mangsa selamat.
Tempoh operasi Perpustakaan Negara dilanjutkan hingga 7 malam bermula 2 Jan
Ia turut melibatkan Perpustakaan Komuniti PNM lain termasuk di Perpustakaan Awam Bukit Damansara, Buku2U@Radia Bukit Jelutong, AEON Mahkota Cheras, AEON AU2 Setiawangsa.
Tiada kenaikan tarif elektrik - TNB
Keputusan ini sejajar dengan yang diputuskan kerajaan pada 20 Dis lepas, untuk mengekalkan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan - 30 Jun 2025.
8 maut selepas bas jatuh dari jambatan di Punjab, India
Kejadian itu berlaku berhampiran kampung Jiwan Singh Wala di daerah Bathinda, Punjab.
Mengapa bunuh "oleh?"
Perkataan "oleh" adalah "kata sendi nama" untuk menunjukkan pembuat dalam ayat-ayat pasif.