TULISAN ini cuba lari sedikit daripada hangatnya suhu perhatian tempatan kerana pilihan raya umum, 19 November ini, yang dikatakan banyak pihak sebagai ibu kepada segala pilihan raya. Di sebalik itu, ia masih ada perkaitan langsung memandangkan rantaiannya adalah dalam orbit yang sama. Hanya baca sehingga ayat terakhir untuk menangkap pesan perkaitannya.

Begini. Saya belum lahir semasa Perang Dunia Kedua meletus, malah sehingga ia berakhir sekalipun, saya belum lahir ke dunia ini. Di dalam buku sejarah, carian Internet dan buku akademik sekalipun, Perang Dunia Kedua senada diletakkan bermula pada 1939 hingga 1945.

Tentu sahaja, kerana belum lahir, perkembangan perang ini - dimulai pengeboman Jerman di Poland sebelum tamat dengan penyerahan kalah Jerman di Stalingrad (kini Volgograd), Rusia dan Jepun angkat bendera putih kerana serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika - saya ikuti kemudiannya di halaman buku atau bahan cetak lain apabila membesar.

Dan, tanpa sukar difahami, tentu sahaja, jalur pemikiran saya tentang perang ini dibentuk sealiran dengan halaman buku serta bahan cetak.

Peristiwa Tembok Berlin diruntuhkan pada 9 November 1989 membawa kepada perubahan politik dunia di Soviet Union dibubarkan serta mempopularkan lagu "Wind of Change" nyanyian Scorpion. - Foto Reuters

Saya juga belum keluar dari gelapnya rahim ibu semasa Perang Dingin bermula, tetapi cerah sedikit pandangan mata, walau masih belum matang, ketika Tembok Berlin runtuh, sudah buka lebar halwa telinga waktu alunan lagu Wind of Change nyanyian Scorpion popular pada 1990-an. Dan, apabila Perang Dingin berakhir pada 1989, saya boleh dikatakan, sudah lebih matang sedikit.

Tentu sahaja, ketika itu, bantuan pencerahan mata dan telinga banyak disokong (dibaca masih) oleh buku dan beberapa halaman cetak lain. Saya tahu dan dapat menangkap pesan kemudiannya lirik lagu Wind of Change oleh kumpulan rock popular dari Jerman berkisah mengenai gerakan pembaharuan, tentang cerita kejatuhan komunis dimulai runtuh Tembok Berlin menyapa sehingga ke Moskova (baca Moscow sekarang) diikuti pembubaran Soviet Union, dari buku cetak dan layar maya juga, tidak melalui medium lain.

Ya, bukan luar biasa dijangka, apa yang saya anggap tentang sejarah Perang Dingin, runtuhnya Tembok Berlin, pembubaran Soviet Union banyak dicorak oleh naratif di medan buku dan layar maya, entah berat sebelah, entah adil berada di tempatnya, tidak begitu diambil peduli.  

Saya masih belajar ketika dunia sedikit aman apabila kuasa dunia hanya ada Amerika selepas tiada lagi Soviet Union, tamatnya Perang Dingin. Berkesempatan mencuri masa membaca buku World Without Wall tulisan anak muda Ayman Rashdan pada era ini di dunia maya, ketika sudah bekerja, saya boleh mengaitkan apa yang berlaku hari ini adalah tentang persaingan kuasa, tentang mahu muncul sebagai adikuasa global, tentang kawal dunia tanpa ada tentangan apa-apa kuasa.

Ketika Perang Teluk meletus dan berakhir pada 1991, saya belum bekerja, tetapi sudah bergaji apabila perang di Afghanistan bermula. Dikatakan di media antarabangsa dan dilapor pula oleh media tempatan, Iraq menceroboh Kuwait dan tentera Pakatan dikepalai Amerika Syarikat perlu masuk untuk membebaskan rakyat Kuwait. Tentu sahaja, sumber berita antarabangsa, entah berat sebelah, entah adil berada di tempatnya, media tempatan ambil pula kandungannya untuk disampaikan kepada khalayak lebih ramai di sini.

Maka, bukan sesuatu yang pelik jika maklum balas tentang perang yang satu ini - menjadikan Kuwait padang jarak padang terkukur pada satu masa dan kacau bilau "masih tidak dibebaskan" pada masa yang lain pula selepas tentera melangkah keluar, acuannya berpaksi daripada media antarabangsa juga.

Jangan dilupakan, sama juga halnya dengan perang di Afghanistan. Tentera Amerika masuk kerana mahu halau Taliban dan Osama bin Laden. Taliban jatuh, nyawa Osama dicabut, laporannya ada, tidak keterlaluan dikatakan, ia condongnya ke Barat, bukan ikut perspektif yang dimahukan. Semuanya ada disebut Ayman Rashdan dalam trilogi bukunya, yang saya habiskan bacaannya hanya pada tahun ini, 2022, ketika terus kekal bekerja.

Ketika perang era ini, dilabel Perang Dunia Ketiga, apabila Rusia melancarkan operasi khas di Rusia, saya kekal bekerja, masih di dalam radar media, membuat laporan, mendedah kebenaran. Sudah tentu, bermacam-macam berita juga dapat dilihat, tetapi mujurnya, semasa kekal bekerja pada 2022, ada cabang lain untuk memperoleh berita sebelum menelan mana-mana sumbernya. Ya. Platform media sosial.

Melalui kerja dan media sosial juga, saya menemui beberapa rakan dari Rusia, Ukraine dan Amerika Syarikat juga. Saya faham juga mengenai Pertubuhan Atlantik Utara (NATO), Pakatan Warsaw, hubungan sejarah Rusia-Ukraine semasa dalam Soviet Union, dua blok bertelagah - blok Amerika, blok Soviet, turun naik Dolar Amerika, hubungan panas dingin Moscow-Washington dari dulu sampai sekarang dan banyak lagi perkaitannya.

Tentu sahaja, kerana bekerja di bawah organisasi di mana beritanya dinobat paling dipercayai untuk lima tahun berturut-turut, saya menjadi pencinta kebenaran tegar. Dalam cerita mengenai perang yang sudah tentu ada pelbagai versi, maka, lapis demi lapis tentang kebenaran itu saya kira perlu dibongkarkan, atau setidak-tidaknya diperbaiki sudut pandang tentang itu, kalau tidak sampai mengharap menukarnya secara total. 

Berkesempatan bertemu kalangan warga Rusia pelbagai lapisan golongan semasa bekerja dan di beberapa acara, ia mencerah, bahkan menjernihkan pandangan mengenai hitam kelabu Rusia dan apa yang berlaku sekarang, yang ada kesannya juga ke atas warga Malaysia.

Tanggapan inilah yang membawa saya ke Moscow, di mana sukarnya ialah, ketika saya cuba memperbetulkan sudut pandang, semasa perang ke atas Ukraine oleh Rusia masih berlanjutan, di mana kesannya kepada ekonomi perut sampai kepada hampir semua golongan di Malaysia. Sampainya saya ke Moscow, bukan untuk puji-pujian, tetapi memuatkan pandangan bahawa Rusia juga sisi yang perlu ditegakkan.

"Hampir tiada siapa yang mahu percaya, bukan Rusia semata-mata menyebabkan inflasi dunia, bukan perang di Ukraine faktor mutlak menyebabkan harga minyak, gas melambung tinggi," kata Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl Latipov dalam satu temu bual sebelum ini, sebelum saya ke Moscow. Ada faktor lain, sambung seorang lagi warga Rusia yang mengakui apa sahaja diputuskan Presiden wajar disokong.

"Lihat dan cari sendiri kebenaran apabila ke Moscow," pesan seorang lagi rakan Rusia menerusi WhatsApp sewaktu saya tiba di bumi bekas Soviet.

Gorky Park yang mengalir Sungai Moscow di dalamnya disebut dalam lagu "Wind of Change" nyanyian Scorpion di mana ia menjadi lokasi bermulanya perubahan di Soviet Union bermula dengan runtuhnya Tembok Berlin pada 9 November 1989. - Gambar Astro AWANI

Dan, di Rusia, tentu sahaja saya ke Gorky Park dan sungai Moscow, tempat yang disebut dalam lagu Wind of Change, sambil cuba menyelami perasaan anak muda yang dilagukan gembira dengan angin perubahan sebagaimana liriknya.

Bertemu Sophia Eveginiya, seorang anak muda berminat mengenai ASEAN, lebih khusus Malaysia-Thailand, saya tanyakan pandangannya tentang perang, terma diperbetulkan beliau sebagai "operasi khas", yang masih berpanjangan, ada kesannya kepada global.

"Begini ya, saya kira siapa sahaja yang ada kuasa memikirkan permintaan soal keselamatan dan mempertahankan kedaulatan sebelum membuat keputusan melancarkan operasi," katanya sebelum menyambung sejarah yang panjang antara Rusia-Ukraine mengikat Presiden Rusia dalam mencapai tekad sukar untuk itu pada 24 Februari 2022.

Menikmati kopi bersembang santai bersama warga emas Rusia, Dr Viktor, menggunakan naratif sejarah pada pemikiran anak muda seperti Sophia berupaya memperdalamkan fahaman mengenai atmosfera di negara paling besar di dunia itu. 

"Saya kira Rusia sudah menganggap Ukraine itu leluhur Rusia, cakapnya bahasa Rusia, berada di dalam Rusia sebelum ini tetapi tentunya dimarahi jika enggan lagi menjadi "Rusia" sebagaimana Rusia selepas bukan lagi di dalam Soviet Union," kata beliau, yang saya simpulkan dengan mudah kemudiannya bahawa muda atau tua, di Moscow, mereka tiada masalah dengan operasi khas ke atas Ukraine.

Saya kemudiannya ke Volgograd (dahulunya Stalingrad), tempat jatuhnya tentera Jerman lalu berakhir Perang Dunia Kedua, lokasi kedua paling dekat ke sempadan dengan Ukraine. Di sini, juga tiada beza, malah hampir tiada yang berkata "tidak menyokong" kepada operasi khas.

"Biar mereka tahu, sakit Ukraine, Rusia perlu sembuhkan, bimbang Rusia, Ukraine wajar tangkap pesannya", begitu barangkali pandangan mereka di Volgograd.

Mikhail Gorbachev menamatkan permusuhan blok Soviet dan blok Amerika berjabat tangan dengan Ronald Reagan menandakan berakhir Perang Dingin dan bubarnya Soviet Union. Gorbachev meninggal dunia pada Ogos 2022. - Foto Reuters

Kembali dari Volgograd, Mikhail Gorbachev meninggal dunia. Hanya sedikit sedihnya dirasai di Moscow, walaupun hibanya tetap ada. Gorbachev pemimpin akhir era Soviet Union dan beliau merintis kepada hubungan lebih harmoni antara blok Amerika dan blok Soviet. Semasa hayatnya, mendiang ada mengkritik mengenai tindakan Vladimir Putin, pada masa sama cuba mengusahakan damai, sebagaimana dibuatnya beberapa kali sehingga permusuhan tamat dan Gorbachev dan Ronald Reagan berjabat tangan. Itu tidak berlaku sehingga hari kematiannya pada 30 Ogos 2022.

Sebelum pulang, saya ke Gorky Park sekali lagi, cuba menangkap pesan tentang angin perubahan dalam alunan lagu Wind of Change di latar masa 2022. Kepada saya, gendang perang hampiri 10 bulan dari Februari itu tiada nyaman angin perubahan yang akan menyapa sebaliknya, mungkin ada ribut kencang melanda sekali gus terus menjejaskan bekalan global, harga minyak, gandum dan bijirin.

Mengikuti perkembangan mengenai Rusia selepas itu, apabila berada dalam negara semula, di dada akhbar dan media disiarkan mengenai jambatan Crimea diletup, pungutan suara di empat wilayah di Ukraine lebih 95% mahu bersama Rusia dan nyawa orang awam terus melayang, saya bukan mahu jadi pesimis, tetapi merasakan, angin pada 1989 sebagaimana dalam lagu nyanyian Scorpion itu tidak akan menyapa pada 2022.

Dan, yang saya dengar kemudiannya di tanah air,  ada beberapa orang makcik marah-marah merungut, membeli goreng pisang harganya lebih mahal berbanding biasa, dan yang menjual pula beri alasan tipikal "kena jual mahal, sebab harga gandum naik, minyak masak naik, macam mana harga tak naik, tak ada untung, mana boleh hidup."

Alasan itu keluar dari mulut mereka, tanpa mahu tahu jika salah satu sebabnya ialah perang berterusan di Rusia dan Ukraine, yang menjadi pengeluar gandum dan bijirin utama kepada dunia, tanpa terkecuali ke Asia, Malaysia antara di dalam petanya.

"Tetapi harapnya, pemimpin yang dipilih nanti pada 19 November ini boleh bagi bantuan kepada peniaga kecil macam kami, fikir macam mana kami nak bangkit," kata seorang lagi peniaga yang mendedahkan sudah banyak menerima pakej untuk merangsang ekonominya dan keluarga sebelum perang meletus.

Saya beritahu kemudiannya, "Tunggu dulu kakak, fikir dan bulatkan keberanian untuk berubah. Berani dan tekad pilih pemimpin yang ada peta rancangan untuk mengubat demam belum sembuh ekonomi negara, membantu menumbuhkan kadar atau harga kesejahteraan hidup rakyatnya. Bukan pemimpin yang memberi satu beg beras, sebotol minyak masak, sebakul pisang yang sekelip mata hilang diguna sebagaimana kedatangan singkatnya pada satu pertemuan," begitu berani saya mencadangkan kepada wanita berusia lebih 60 tahun ini.

Tetapi saya berani berkata begitu kerana ia adalah pesanan yang dapat saya tangkap semasa di Gorky Park, Moscow dan Volgograd ketika mendengar lagu Wind of Change hari ini, 9 November 2022, diilhamkan ketika Tembok Berlin runtuh, 9 November 1989.

Angin perubahan dialu-alukan di Soviet kerana anak mudanya berani untuk berubah. Saya tahu anak muda di Malaysia semakin ramai yang berani untuk berubah. Aliran ini perlu berjangkit kepada golongan lebih berusia juga.

Tanpa mengira jika angin perubahan ke arah aman tidak akan menyapa dunia pada 2022, jika perang Rusia adalah indikatornya, ia boleh terus berhembus di Malaysia, pada 19 November ini, jika golongan berusia juga berduyun-duyun berani berubah - memilih pemimpin yang ada peta perancangan memperbaiki ekonomi untuk Malaysia dan kesejahteraan hidup rakyatnya, di sebalik perang di Ukraine berlanjutan mengakibatkan bekalan bijirin kurang, harga minyak naik dan Ringgit Malaysia melemah.

Saya tinggalkan bait-bait dalam lagu Wind of Change dibaca begini:

Follow the Moskova,
Down to Gorky Park,
Listening to wind of change...


Moga-moga semasa ia dilagukan, ia dapat menyuntik seterusnya pesan boleh ditangkap, bahawa pembaharuan itu perlu dalam menolak arah angin perubahan dan perubahan sudah semestinya,  wajib, ada keberanian.



* Azlinariah Abdullah ke Rusia selama dua minggu pada Ogos hingga September 2022. Beliau juga Editor buku "Senandika Cinta & Korona di Rusia" tulisan Ahmad Ashraff Haiqal dan merupakan Editor Astro Awani.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.