Kerajaan digesa membekukan semua lesen pembalakan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun dan menanam semula pokok-pokok hutan yang ditebang.

Itu antara tujuh tuntutan yang terkandung dalam memorandum yang diusulkan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mohd Ali Mohd Nor pada Forum Media Khazanah Alam anjuran PEKA dan Malaysia Press Institute (MPI) di ibu negara pada Selasa.

Mengambil iktibar dan pengajaran pasca bencana alam sekitar yang berlaku baru-baru ini khususnya banjir di Kelantan dan tanah runtuh di Cameron Highlands, ia mendorong pertubuhan itu untuk mendesak kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan pembalakan tidak terkawal.

"Kita nak minta jangan ada pembalakan dalam masa terdekat mungkin dalam 10 tahun 'freeze' lesen pembalakan. Kita (PEKA) nak badan kanun negara semak balik semua akta berkenaan tanah negeri. Saya fikirkan tiada yang mustahil untuk dilakukan sekiranya difikirkan tentang negara dan masa depan," kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yang menyampaikan memorandum berkenaan.

Memorandum itu, antara lain menggesa undang-undang atau syarat wajib penanaman semula pokok-pokok hutan yang ditebang di semua kawasan konsesi pembalakan dipantau dan tindakan tegas diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

Selain itu, PEKA turut mencadangkan supaya Majlis Tanah Negara memainkan peranan lebih proaktif dan tegas dalam menyampaikan dasar negara bagi pengawalan dan penjagaan hutan.

Ia juga menggesa penguatkuasaan dimantapkan melalui penambahan peruntukan kewangan dan jawatan agar lebih berkesan.

Terdahulu pada forum media berkenaan, golongan wartawan, tokoh dan aktivis alam sekitar selain pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan ahli akademik berkumpul untuk membincangkan tentang isu-isu semasa berhubung alam sekitar.

Antara fokus forum itu ialah memperkasa peranan media dalam membantu meningkatkan kesedaran awam, sekaligus menggerakkan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Selain itu, sesi perkongsian pengalaman juga diadakan dimana beberapa wartawan yang membuat liputan mengenai alam sekitar menceritakan pengalaman masing-masing.

Salah seorang anggota panel, Ketua Pengarang 1, Utusan Melayu Bhd., Datuk Mohd Zaini Hassan, menerangkan peranan dimainkan media dalam mengetengahkan isu alam sekitar yang dianggap cukup penting.


"Peranan media amat penting untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat supaya kenal alam sekitar dan peranan media amat penting untuk mendedah dan membongkar jenayah alam yang berlaku terutama dalam negara membangun pesat seperti Malaysia di mana ketamakan mengaut untung telah menyebabkan berlaku kemusnahan alam yang begitu besar sepertimana kita melihat berlaku di Cameron Highlands," kata Mohd Zaini.

Antara anggita panel lain yang turut terbabit ialah Wartawan Astro AWANI, Tan Su Lin yang berkongsi pengalaman membuat liputan tentang aktiviti pengeboman ikan di Sabah serta kesannya terhadap alam sekitar marin.