KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin percaya langkah melestarikan budaya integriti dalam kepimpinan dan perkhidmatan adalah sangat penting bagi memastikan Negeri Di Bawah Bayu dapat diurus tadbir dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata budaya integriti jika diamalkan secara berterusan juga mampu menjamin Sabah diurus dengan baik.

"Amanah dan tanggungjawab berpaksikan kepada integriti dapat meningkatkan keyakinan rakyat, komuniti perniagaan, pelabur tempatan dan luar negeri terutama terhadap kepimpinan pentadbiran kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati pembangunan yang dijanjikan," katanya.

Juhar berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini pada Sabtu yang membabitkan 50 penerima.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan seluruh anggota Kabinetnya atas kejayaan melaksanakan program pembangunan dalam usaha memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Juhar juga melihat komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenal sebagai usaha memastikan tiada siapa terpinggir seterusnya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Pertumbuhan ekonomi positif dan nilai perdagangan meningkat dapat dilihat apabila Sabah berjaya menarik lebih banyak pelabur dan memperoleh hasil yang tinggi," katanya sambil menambah kemajuan negeri itu adalah hasil komitmen berterusan semua pihak dalam menyokong, melaksana dan menjayakan usaha pembangunan Sabah.

Juhar berkata beliau yakin Kerajaan Negeri Sabah akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan untuk terus membangun dan memajukan negeri itu selain meminta rakyat terutama golongan belia agar sentiasa bersedia meneroka serta mengadaptasi kemahiran baharu dan celik digital untuk kekal relevan dalam perkembangan pantas teknologi ketika ini.

Beliau berkata ini bagi memastikan terdapat sekurang-kurangnya seorang dalam setiap isi rumah yang mengambil peluang menjana pendapatan melalui kemajuan teknologi digital bagi membangunkan ekonomi keluarga ke arah masa depan yang lebih baik.

Juhar turut mengingatkan semua lapisan masyarakat di Sabah agar terus mengamalkan sikap saling menghormati, bersatu padu, bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian serta perbezaan sebagai satu kelebihan selain sentiasa berwaspada terhadap sensitiviti agama dan budaya berbilang kaum.

"Saya berharap kita bersama-sama menjaga nilai-nilai ini untuk mempertahankan negeri ini agar terus harmoni dan kukuh," katanya.

-- BERNAMA