MELAKA: Melaka menerima RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan sebagai dana tambahan bagi memperkasa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan itu berkata dana berkenaan boleh digunakan oleh institusi TVET untuk bekerjasama dengan penggiat industri.

"Melaka telah menunjukkan keupayaan TVET dan untuk meningkatkan kerjasama dan sinergi dengan TVET yang besar seperti Infineon, Honda, CTRM (dan sebagainya).

"(Ia bagi) memastikan anak-anak kita (bukan sahaja) dapat pekerjaan tapi dapat pekerjaan dengan upah yang tinggi, bukan setakat RM2,000 sebulan tapi tingkat minimum RM3,500 ke atas," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama Penjawat Awam Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan tambahan sebanyak RM25 juta bagi usaha pemuliharaan Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di negeri itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata sejumlah RM238.7 juta disalurkan kepada Melaka pada tahun ini berbanding RM233.6 juta pada tahun lepas.

"Bagi projek pembangunan di Melaka, sejumlah RM800 juta diperuntukkan pada tahun ini dengan melibatkan 230 projek.

"Sementara peruntukan bagi projek-projek baharu yang mendapat perhatian adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Putat bernilai RM72.8 juta dan Program Bantuan Rumah-Baik Pulih 2024/2025 berjumlah RM10.1 juta," katanya.

Beliau berkata peruntukan tersebut juga merangkumi projek sambungan seperti Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai Melaka bernilai RM80 juta, Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai Jernih (RM60 juta), menaik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal (RM30 juta), pembangunan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Jasin (RM60.4 juta) serta Program Rumah Mesra Rakyat Melaka (RM22.3 juta).

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf rumah penjawat awam seperti tentera, guru, polis dan Jabatan Penjara.

"Tahun lalu tandas sekolah dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang bantu dan sekarang kita bangga semua sekolah mempunyai tandas bersih.

Selain itu katanya kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Pertama sehingga RM500 (isi rumah) juga telah memberi manfaat kepada lebih 267,000 penerima di Melaka dengan peruntukan mencecah RM215 juta.

"Kita akan sedaya upaya mencari dana untuk rakyat dan sebab itu kita boleh tambah RM2 bilion bagi STR bagi tahun ini dan dilakukan mengikut keadaan dan keperluan ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA