ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka sedang memperhalusi bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada nelayan dan penternak khususnya yang terjejas susulan larangan penjualan dwicangkerang termasuk kupang sejak April lepas.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sebelum ini terdapat bantuan yang telah disalurkan kepada nelayan terjejas oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Penternak kupang dan nelayan terjejas boleh berjumpa dengan kita... memang kita tengah usahakan sesuatu (bantuan) tetapi bukan dalam jumlah yang besar.

"Untuk nelayan pula, tidak boleh kata terjejas sepenuhnya kerana mereka masih boleh menangkap ikan, udang dan hasil laut lain kecuali dwicangkerang sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Nelayan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini semalam.

Pada Selasa media melaporkan lebih 30 nelayan dan penternak kupang di Jeti Nelayan Pengkalan Sebatu, Jasin di sini mengalami kerugian besar kerana tidak dapat menjual ratusan ribu kilogram kupang sejak tiga bulan lepas.

Dr Muhamad Akmal berkata nelayan dan penternak kupang diharap dapat bersabar dengan situasi yang dihadapi kerana larangan penjualan hasil laut dwicangkerang itu melibatkan isu kesihatan dan pihak berwajib sentiasa memantau perkembangan semasa sampel air dan kupang di perairan Melaka yang masih dicemari biotoksin berbahaya.

Beliau berkata sampel berkenaan diambil setiap minggu oleh Jabatan Perikanan dan data analisis berkenaan boleh didapati daripada jabatan itu.

"Kita telah ambil sampel berkenaan bagi minggu ke-10 dan bacaan toksin semakin rendah namun masih belum selamat untuk makan kupang atau dwicangkerang lain. Kita harap dalam sebulan ini, larangan itu dapat ditarik balik setelah analisis yang dijalankan mendapati perairan Melaka benar-benar bebas daripada pencemaran biotoksin," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, sebanyak 36 daripada 60 nelayan menerima kunci rumah di bawah Projek Penempatan Semula Nelayan Kuala Sungai Baru Ilir melibatkan peruntukan berjumlah RM8.9 juta.

Projek pembinaan 60 rumah jenis berkembar (Semi-D) di tanah berkeluasan 5.6 hektar di bawah peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu mula dijalankan pada 2014, namun mengalami kelewatan sebelum berjaya disiapkan dan diserahkan kepada penerima hari ini.

-- BERNAMA