KUALA LUMPUR:Media tempatan memainkan peranan sebagai ‘vaksin’ dalam mengekang penyebaran berita palsu atau maklumat tidak benar berhubung COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) bergantung kepada bantuan media untuk memahami isu semasa, sekali gus menghapuskan berita palsu.

“Anda semua adalah vaksin kami sebenarnya apabila berkaitan dengan berita palsu, dan juga kita akan bekerjasama (dari semasa ke semasa).

“Sekarang ini sudah lebih setahun (negara berdepan COVID-19), dan saya rasa sesi ini (Libat Urus) adalah lebih baik berbanding sidang media kerana tempoh masa yang singkat.

“Saya hanya (sempat) membaca fakta, data dan menjawab soalan sekitar 10 hingga 15 minit sahaja,” katanya pada sesi Libat Urus Darurat COVID-19 Bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Siri 2/202, pada Jumaat.

Jelas Dr Noor Hisham, platform seperti sesi Libat Urus membantu pihak kementerian menyampaikan penjelasan secara terperinci, selain memberikan kefahaman yang lebih baik kepada pengamal media.

Terdahulu, sesi Libat Urus bertajuk Ujian Pengesanan COVID-19 dan Kesiapsiagaan Makmal Kementerian Kesihatan Malaysia berlangsung selama hampir tiga jam.

Turut sama ialah Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Dr Hani Mat Hussin; Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Suresh Kumar Chidambaram; dan Ketua Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Ravindran Thayan.