SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan RM150 juta untuk Pelan Tebatan Banjir Setia Alam bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan itu sejak 2021.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata projek tebatan banjir yang melibatkan Sungai Binjai dan Sungai Puloh itu bakal memanfaatkan lebih 200,000 penduduk di sekitar Setia Alam yang kerap menjadi mangsa banjir kilat meskipun bukan berada dalam musim peralihan monsun.

"Mutakhir ini akibat daripada perubahan iklim, kerap juga insiden banjir kilat berlaku dan ia sukar untuk diramal lagi.

"Mungkin antara faktornya adalah pembangunan tetapi kita tidak boleh menyalahkan pembangunan dan alam semata-mata, kita perlu ambil tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog awam bagi Pelan Tebatan Banjir Setia Alam di sini hari ini.

Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata MBSA telah mengenal pasti beberapa lokasi berisiko membabitkan kawasan utiliti awam serta pembangunan yang memerlukan kerjasama banyak pihak.

Beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan pembinaan saliran perparitan lestari dan pembesaran kolam takungan air.

"Pendekatan ini merangkumi elemen seperti penyerapan air semula jadi, pengekalan kawasan hijau dan integrasi teknologi moden dalam pengurusan air," katanya.

-- BERNAMA