KUALA LUMPUR: Kawasan sekitar Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 7 ditutup sementara mulai malam ini bagi memberi laluan kepada operasi menangkap buaya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman  Negara (PERHILITAN) Selangor.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan  di laman Facebook memaklumkan, penutupan sementara itu bermula jam 8 malam hingga 7 pagi dan akan dilaksanakan sehingga reptilia itu ditangkap.

"Dalam usaha untuk menjayakan operasi penangkapan buaya oleh pihak Perlihitan, aktiviti berjoging dan memancing adalah tidak dibenarkan sementara di sekeliling Tasik Seksyen 7, Shah Alam bermula 8 malam hingga 7 pagi," menurut kenyataan itu.

https://www.facebook.com/shahalamcitycouncil/posts/pfbid0H2MvQE9ycvoXt6gAYJJLGZBKSh1wsZZ3xJsBrB8WVsrrtWd4jwMRUt5e5Esiea99l

Sebelum ini,  PERHILITAN Selangor memberi pengesahan pihaknya sedang giat melakukan pemantauan di sekitar Tasik Seksyen 7, Shah Alam susulan kemunculan seekor buaya di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh pada Selasa. berkata setakat ini reptilia tersebut belum berjaya ditangkap dan pihaknya akan meneruskan usaha dengan memasang perangkap di lokasi itu.

PERHILITAN Selangor telah mula memantau lokasi kejadian sejak petang Isnin. Sehubungan itu, imej dron agensi berkenaan turut berjaya mengesan kehadiran reptilia sekitar 5 petang, Selasa.