GEORGE TOWN: Kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memantau dan memeriksa pokok khususnya yang telah tua bagi mengelak kejadian pokok tumbang.

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata arahan juga dikeluarkan untuk kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjalankan pemeriksaan pokok secara berkala.

''MBPP dan MBSP perlu menghantar laporan berkaitan keadaan pokok terutama pokok yang telah tua kepada saya setiap minggu bagi memastikan kesemua pokok tidak membahayakan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Naik Taraf Terminal Bas Sungai Nibong (TSN) di sini hari ini.

Menurut H'ng MBPP dan MBSP sememangnya sentiasa memantau pokok secara berkala, malah turut melantik kontraktor untuk memangkas dahan dan ranting.

"Di Pulau Pinang, kita faham soal pokok ini sensitif malah memang dalam Akta Kerajaan Tempatan ukuran pokok yang tertentu, yang kita tidak boleh potong dengan sewenang-wenangnya. Cuma kita perlu pastikan pokok-pokok yang agak tua, berusia lebih 80 tahun atau 100 tahun berada dalam keadaan selamat menerusi pemantauan," katanya.

Sabtu lepas, lima kenderaan rosak akibat ditimpa pokok yang tumbang di Jalan Macalister di sini, namun kejadian tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

-- BERNAMA