Ibu kepada dua beradik yang ditemui mati bersama bapa mereka di Taman Sri Sinar, Segambut, dua minggu lepas akan didakwa di mahkamah atas tuduhan mengabaikan kanak kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R.Munusamy berkata wanita itu akan didakwa mengikut seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Berhubung penyiasatan kes dua orang kanak-kanak dengan seorang lelaki dewasa yang berlaku dua minggu lalu di kawasan Kepong, siasatan tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Pendakwa Kuala Lumpur.

“Peguam Negara memberi arahan untuk menuduh ibu kepada dua kanak kanak tersebut dan isteri kepada si mati di bawah seksyen 31 Akta Kanak-Kanak. Dia akan dituduh pada Khamis ini (esok) di Mahkamah Jalan Duta,” katanya selepas Majlis Himpunan Bulanan Balai Polis Daerah Sentul dan Penyampaian Sijil Penghargaan di Balai Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu beliau berkata hasil siasatan kes terbabit telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Pada 26 September lepas, polis menemui mayat tiga beranak terbabit dalam keadaan sudah mereput.

Dua beradik itu ditemui dalam keadaan bertindih, dibungkus dengan plastik sebelum disumbat dalam bekas plastik.

Manakala bapanya ditemui dalam keadaan terlentang dan sudah reput di bilik utama.

Kejadian itu disedari selepas jiran menghubungi bapa mertua lelaki itu setelah rasa curiga dengan bau busuk dari arah rumah itu.

Hasil siasatan turut mendapati terdapat beberapa kesan penderaan kepada bayi lelaki berusia tujuh bulan dan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu.