KOTA BHARU: Satu mayat reput ditemukan terdampar di Pantai Kuda Pulau Dolah di sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata pihaknya menerima laporan daripada polis, memohon bantuan bomba untuk mengambil mayat berkenaan yang ditemukan oleh orang ramai terdampar di pantai pada kira-kira pukul 9 malam tadi.

"Lima pegawai dan anggota bomba telah ke lokasi dan mendapati benar ada mayat seorang lelaki terdampar. Mayat itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ia dipercayai mayat seorang peniaga kosmetik yang terjun dari atas Jambatan Tendong, Pasir Mas, dua minggu lepas, namun pihak media masih menunggu pengesahan daripada polis mengenainya.

Dalam kejadian 15 Jan lepas Norhisyam Ismail, 43, hilang selepas dikatakan terjun ke Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, Pasir Mas, dekat sini, dan JBPM bersama polis menamatkan sepenuhnya operasi pencarian kira-kira lapan hari kemudian.

-- BERNAMA