KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menemukan mayat seorang lelaki di Sungai Belat di Taman Desa Bistari di sini, pada 8.10 malam tadi.

Ketua Zon Satu JBPM Pahang Mohd Shahrom Laji berkata mayat yang berseluar pendek dan tidak berbaju itu ditemukan tersangkut pada pokok berhampiran sungai itu.

"Bomba dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh orang awam yang mendakwa ternampak mayat terapung daripada jambatan Sungai Belat pada 7.20 malam.

Bagaimanapun, semasa bomba tiba di lokasi, mayat telah dibawa arus sebelum berjaya ditemukan kira-kira 300 meter daripada jambatan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shahrom berkata mayat diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA