MELAKA: Polis menafikan mayat seorang lelaki yang ditemui tanpa pakaian di kawasan tambak pasir di Klebang, di sini merupakan mangsa bunuh seperti ditularkan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebaliknya kematian lelaki tempatan berusia 71 tahun itu diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) kerana serangan jantung.

“Pihak polis terima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 6.20 petang pada 18 September lalu memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di kawasan tanah lapang tepi Pantai Eye On, Melaka.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan di tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kita klasifikasikan sebagai SDR,”katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu sehingga menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Christopher Patit

Terdahulu, tular klip video berdurasi 14 saat memaparkan mayat seorang lelaki ditemui tidak berpakaian di kawasan berpasir tambak laut itu.

Mayat itu didakwa sebagai mangsa bunuh sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.