KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meluluskan 57 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) pada suku kedua 2023, yang terdiri daripada 45 laluan udara antarabangsa dan 12 laluan domestik.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata, berasaskan tahun ke tahun, permohonan ATR meningkat sebanyak 87.5 peratus pada suku kedua 2023 berbanding suku kedua 2022, menandakan momentum yang lebih kukuh dalam sektor penerbangan.

"Ketika industri penerbangan meneruskan pemulihannya, Mavcom turut melaporkan penurunan permohonan ATR sebanyak 11.7 peratus pada suku kedua 2023 berbanding suku pertama 2023," katanya.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata suruhanjaya itu telah meluluskan ATR untuk pelbagai destinasi baharu dan mewujudkan penyambungan kepada hab-hab penerbangan baharu.

"Langkah-langkah ini telah diambil secara khususnya untuk meningkatkan kesalinghubungan udara, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memangkin pemulihan sektor penerbangan.

"Kami turut digalakkan melihat syarikat penerbangan merebut peluang bagi perkembangan ini. Peningkatan ketara dalam permohonan dan kelulusan ATR pada suku kedua 2023 berbanding tempoh sama pada 2022, membuktikan daya tahan industri penerbangan yang sedia ada serta keupayaan industri untuk mengubah suai dan berkembang maju," katanya.

AirAsia dan syarikat subsidiari logistiknya, Teleport telah menerima 16 ATR untuk laluan udara antarabangsa dan domestik, mewakili 28 peratus daripada 57 ATR yang diberikan Mavcom, sekali gus menunjukkan bahawa AirAsia telah memperoleh jumlah kelulusan tertinggi pada suku tersebut.

Pada suku yang dikaji, Batik Air diberikan kebenaran untuk melakukan penerbangan ke destinasi-destinasi baharu termasuk Tashkent, Uzbekistan dan Okinawa, Jepun melalui Taipei, manakala AirAsia X menerima ATR untuk menyediakan perkhidmatan laluan udara ke Almaty, Kazakhstan.

Pada masa yang sama, Teleport menerima ATR untuk laluan udara di Hong Kong dan sektor utama di Malaysia Timur iaitu Kota Kinabalu, Kuching dan Tawau.

Selaras dengan strategi Malaysia Aviation Group untuk membangunkan Kota Kinabalu sebagai hab serantau bagi Firefly, kelulusan ATR telah diberikan untuk penerbangan dari Kota Kinabalu ke Narita dan Taipei pada Mei 2023.

Selain itu, Mavcom meluluskan ATR MYAirline ke destinasi di Indonesia, Vietnam dan Thailand, sekali gus meluaskan kesalinghubungan udara Malaysia dalam rantau Asean.

Berikutan kelulusan ATR yang diberikan, MYAirline telah mula beroperasi ke Bangkok, Thailand sejak Jun 2023, kata kenyataan itu.

Syarikat penerbangan dikehendaki menggunakan ATR yang diperuntukkan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusan ATR untuk mengelakkannya tamat tempoh.

-- BERNAMA